top of page
  • MYB

Kiddocare Lancar Program Sokongan 'Care for Empowerment Series'

Kiddocare, sebuah platform yang menghubungkan ibu bapa dengan pengasuh wanita Malaysia yang berpengalaman dan dipercayai berdasarkan permintaan, menganjurkan satu sesi perbincangan panel sempena pelancaran Care for Empowerment Series buat julung-julung kalinya. Care for Empowerment Series merupakan satu usaha untuk membina sebuah komuniti yang menyokong ibu bapa secara berterusan dengan menyediakan persekitaran yang selamat, positif dan membina bagi berkongsi isu dan mencari penyelesaian menerusi sesi libat urus kumpulan fokus dan perbincangan dari hati ke hati.


[Dari kiri ke kanan] Farhana Abdullah, Pengasas Argania and Joielle; Ranukka Singham, Pengasas dan Jurulatih Utama Image Revamp; Yan Lim, Ketua Pegawai Eksekutif iOli Communications; Penny Choo; Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan BloomThis; dan Nadira Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kiddocare semasa sesi perkongsian berkenaan Care For Women Entrepreneurs: What Makes or Break Us.

Program pertama dalam siri tersebut menampilkan barisan usahawan wanita yang berkongsi cabaran dalam membahagikan masa antara tanggungjawab profesional dan peribadi mereka. Anggota panel perbincangan turut bertukar-tukar nasihat dan petua berguna berkaitan topik ‘Care for Women Entrepreneurs: What Makes or Breaks Us’.


Mereka turut berinteraksi dengan penonton yang rata-rata merupakan golongan ibu bekerja. Wacana tersebut berlangsung dalam suasana yang santai dan bersahaja dengan penonton yang hadir turut menyertai sesi perbincangan dengan selesa dan selamat. Sesi ini adalah yang pertama daripada pelbagai program lain dalam kerangka Care for Empowerment Series anjuran Kiddocare.


Kiddocare percaya bahawa teknologi berpotensi untuk memperkasakan golongan wanita terutamanya kaum ibu dan kumpulan pengasuh menerusi pewujudan sebuah platform bagi membantu ibu bapa untuk bekerja secara tenang dengan bantuan pengasuh profesional yang memastikan anak-anak mereka selamat, gembira dan terjaga, semasa mereka berada di tempat kerja.


Nadira Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kiddocare, telah melancarkan Care For Empowerment Series dan Kiddocare Community Hub.

“Dengan pelancaran siri ini, kita akan dapat menyingkap rahsia di sebalik tabir mengenai keupayaan golongan wanita ini yang berjaya membahagikan masa antara tanggungjawab profesional dan peribadi mereka. Mudah-mudahan, acara ini akan dapat memberi sedikit pencerahan tentang sumbangan khidmat pengasuhan yang berkualiti kepada kecekapan di tempat kerja sekali gus menyerlahkan agenda kami untuk mewujudkan kesedaran tentang peranan sektor ekonomi pengasuhan kepada pembangunan ekonomi negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff.


Di Malaysia, konsep pengasuhan masih dianggap sebagai satu bentuk cabaran sosial. Nadira percaya bahawa persepsi itu perlu diubah supaya lebih ramai orang akan mula menyedari potensi besar sumbangan ekonomi sektor pengasuhan dan keupayaan sektor ini bagi membantu menangani isu sosial.


Wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia, tanpa mengira status sosioekonomi, melakukan kerja-kerja pengasuhan tanpa gaji. Bagi kebanyakan wanita, tugas ini adalah tambahan kepada pekerjaan bergaji mereka, dan situasi ini mewujudkan 'beban berganda' kerja.


Malah, Nadira menjelaskan, pandemik yang melanda dunia menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada peringkat global mengalami kerugian sebanyak RM28 trilion kerana ia menjejaskan penyertaan wanita dalam sektor tenaga kerja, hanya kerana golongan wanita merasakan mereka terpaksa melepaskan satu perkara bagi memberi tumpuan kepada satu perkara yang lain. Walaupun begitu, sektor pengasuhan masih tidak dipandang serius dari segi sumbangannya kepada sektor ekonomi negara, dan ia menjadi punca kepada kekurangan pelaburan ke dalam sektor ini.


“Kami berharap siri dialog ini akan mendapat sambutan dari wanita-wanita lain dan membuka peluang untuk kita berwacana, membolehkan golongan wanita untuk menyokong satu sama lain dalam apa jua bentuk,” katanya.


Kiddocare percaya bahawa kualiti penjagaan kanak-kanak bergantung pada kualiti tenaga kerja yang bertanggungjawab mengasuh mereka. Pada umumnya, tenaga kerja pengasuhan kebanyakannya adalah wanita dan sebagai wanita, mereka juga mempunyai keperluan untuk mengimbangi tuntutan kerja dan kehidupan peribadi mereka.


“Persekitaran kerja mereka perlu bersifat menyokong bagi membantu golongan wanita ini berasa lebih dihargai dan mengiktiraf kerja yang mereka lakukan. Di Kiddocare, kami sentiasa menekankan aspek kesihatan pengasuh. Kita perlu mengambil berat tentang pengasuh jika kita mahukan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti. Memandangkan pada masa kini tiada sesiapa yang bercakap tentang peningkatan kualiti penjagaan kanak-kanak, Kiddocare mahu menjadi pihak yang memulakan wacana tersebut,” tambahnya.


[Dari kiri ke kanan] Muhaini Mahmood, Pengasas Bersama Kiddocare; Farhana Abdullah, Pengasas Argania and Joielle; Ranukka Singham, Pengasas dan Jurulatih Utama Image Revamp; Yan Lim, Ketua Pegawai Eksekutif iOli Communications; Nadira Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kiddocare; dan Penny Choo; Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan BloomThis semasa acara Care For Empowerment anjuran Kiddocare yang diadakan di Ruang Temu, TTDI.

Pengasas bersama BloomThis, Penny Choo yang merupakan seorang ahli panel perbincangan berpendapat, sokongan pengasuhan yang boleh dipercayai yang tersedia menerusi sebuah platform pengasuhan merupakan satu keistimewaan yang tiada bandingannya bagi individu seperti beliau.


“Sebagai seorang yang mula berniaga dari bawah, saya memahami tekanan apabila terpaksa berkejar ke pejabat untuk menangani kecemasan yang mengejut walaupun saya pada masa sama perlu berada di rumah kerana tiada orang lain menjaga anak saya. Kewujudan platform seperti Kiddocare membantu menenangkan saya supaya saya boleh fokus pada tuntutan kerja tanpa diselubungi rasa bersalah kerana terpaksa mengabaikan mereka yang saya sayangi. Inilah sebabnya saya benar-benar percaya bahawa inisiatif seperti Care for Empowerment Series akan sangat membantu ibu bapa dan komuniti yang bekerja secara amnya,” kata Penny.


Kiddocare Community Hub


Dalam usaha menyokong dan melibatkan komuniti ibu bapa, Kiddocare turut melancarkan Kiddocare Community Hub bagi memberi peluang kepada jenama wanita atau berorientasikan keluarga dan juga mereka yang berada dalam industri pelancongan & riadah, untuk menjalinkan kerjasama dengan Kiddocare dan mendapat akses eksklusif kepada empat ciri program tersebut iaitu:


Kiddocare Influencers - Di bawah program ini, Kiddocare akan menghubungkan rakan kongsi dengan kumpulan pempengaruh (pempengaruh pada peringkat seeder, nano, mikro, makro dan juga ibu bapa selebriti) untuk membantu rakan kongsi Kiddocare Community Hub meningkatkan kebolehlihatan (visibility) produk atau perkhidmatan mereka.


#MamaCareMamaShare - Ciri ini akan membolehkan golongan ibu yang merupakan pengguna Kiddocare untuk mencuba produk-produk baharu daripada jenama-jenama yang menjadi rakan kongsi Kiddocare. Sebagai penguji produk, mereka akan berpeluang untuk memberikan perakuan yang jujur ​​dan ikhlas tentang produk atau perkhidmatan rakan-rakan kongsi Kiddocare.


Lead Generation - Program ini membuka peluang kepada rakan-rakan kongsi untuk bekerjasama dengan komuniti ibu Kiddocare yang semakin berkembang. 81 peratus daripada pengguna Kiddocare adalah golongan ibu - yang berperanan sebagai ‘Ketua Pegawai Eksekutif’ bagi setiap isi rumah. Dengan program ini, rakan-rakan kongsi dapat mengembangkan jangkauan perniagaan mereka kepada kumpulan sasaran yang lebih luas melalui pelbagai usaha untuk mencari peluang perniagaan baharu (lead generation) oleh Kiddocare seperti Mums Club & Kids Club.


Kiddocare Marketplace - Kiddocare membuka platform kedai dalam taliannya kepada perniagaan yang diterajui wanita & jenama berorientasikan keluarga untuk mempamerkan produk & perkhidmatan mereka di laman web Kiddocare. Langkah ini akan memberikan pengguna Kiddocare lebih banyak pilihan pembelian dan tawaran produk dan mentransformasi Kiddocare sebagai sebuah platform berorientasikan keluarga.


Pada masa hadapan, Kiddocare akan terus memudah cara sesi dialog yang lebih terbuka dengan pelbagai pihak yang berkongsi visi yang sama melalui Care for Empowerment Series bagi memulakan lebih banyak perbincangan mengenai sektor ekonomi pengasuhan di samping membangunkan lebih banyak program untuk menyokong komuniti keibubapaan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kiddocare atau inisiatif-inisiatif anjurannya yang lain, sila layari www.kiddocare.my.

0 comments
bottom of page