Siti Nurhaliza Dan Yayasan Nurjiwa Bersinar Di Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia
- MYB
- 34 minit lalu
- 2 min membaca
BANDAR SUNWAY – Biduanita negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi membuktikan bahawa pengaruhnya melangkaui pentas nyanyian apabila beliau dan pertubuhannya, Yayasan Nurjiwa, menjadi sorotan utama di Majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Sunway Resort Hotel, malam tadi.

Dalam majlis berprestij yang dihadiri oleh kenamaan dan aktivis masyarakat itu, Yayasan Nurjiwa diiktiraf sebagai Yayasan Terbaik (Kebajikan Komuniti), salah satu kategori pemacu utama pembangunan sosial negara. Pengiktirafan ini meletakkan Siti bukan hanya sebagai ikon seni, tetapi sebagai "Rakan Strategik Pembangunan Negara" yang komited dalam misi kemanusiaan dan kebajikan.
Majlis yang dianjurkan oleh Gabungan NGO-NGO Malaysia dengan kerjasama Yayasan Generasi Malaysia dan UPM Press ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Kehadiran Siti Nurhaliza ke pentas menerima penghargaan tersebut disifatkan sebagai simbolik kejayaan golongan selebriti yang bijak memanfaatkan populariti demi kebaikan sejagat (maslahat umum). Yayasan Nurjiwa, yang diasaskan oleh beliau dan suami, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa, telah lama konsisten dalam menyalurkan bantuan bencana, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan di luar negara serta tempatan.
"Alhamdulillah, Yayasan Nurjiwa sekali lagi menerima Anugerah Yayasan Terbaik Kategori Kebajikan Komuniti yang dianugerahkan oleh Yayasan Generasi Malaysia @yayasangenerasimalaysia
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang terus mempercayai dan menyokong perjuangan Yayasan Nurjiwa, khususnya para penyumbang setia, sukarelawan, usahawan serta seluruh kakitangan yang tidak pernah jemu menyumbang tenaga, masa dan komitmen dalam menjayakan setiap kempen serta aktiviti kebajikan yang dilaksanakan.
Pengiktirafan ini menjadi penutup yang bermakna buat kami, sekaligus pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh dalam menyebarkan kebaikan dan memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat pada tahun 2026, insya-Allah". @FB - Yayasan Nurjiwa
Malam tersebut turut menyaksikan peluncuran Buletin IMPAK NGO MALAYSIA, sebuah penerbitan eksklusif dengan kerjasama Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM Press). Difahamkan, buletin ini mendokumentasikan sumbangan-sumbangan besar NGO termasuk inisiatif yang digerakkan oleh Yayasan Nurjiwa, bagi memastikan legasi kerja amal ini menjadi rujukan generasi akan datang dan pembuat dasar.
Menurut penganjur, anugerah ini bertujuan mengangkat martabat NGO yang sering bekerja di belakang tabir sebagai "wira tak didendang" yang melengkapi usaha kerajaan dalam membina masyarakat madani.
Bagi peminat seni tanah air, kejayaan Siti Nurhaliza ini adalah satu lagi "trofi" bermakna, namun kali ini bukan kerana kelunakkan suaranya, tetapi kerana keluhuran budinya menyantuni masyarakat.





