top of page

Magika Studios: Usahasama Strategik LLSB-KRU Bernilai RM5 Juta Transformasi Hutan Bakau Klang Jadi Destinasi Edutainment Bertaraf Dunia

  • Writer: MYB
    MYB
  • 5 jam lalu
  • 2 min membaca

SHAH ALAM – Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pemaju induk bagi projek Selangor Maritime Gateway (SMG), dan gergasi kandungan kreatif KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB), Ahad lalu mengumumkan satu pakatan strategik untuk membangunkan Magika Studios, sebuah destinasi eko-pelancongan dan 'didik-hibur' (edutainment) baharu di Mangrove Point, Pelabuhan Klang.


Magika Studios: Usahasama Strategik LLSB-KRU Bernilai RM5 Juta Transformasi Hutan Bakau Klang Jadi Destinasi Edutainment Bertaraf Dunia
(Kiri-Kanan) Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Entertainment, Dato' Norman Abdul Halim bertukar dokumen perjanjian kerjasama pembangunan bersama Pengarah Urusan LLSB, Encik Syaiful Azmen Nordin

Projek yang dijangka dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun 2026 ini merupakan satu langkah berani dalam menggabungkan pemuliharaan alam sekitar dengan teknologi hiburan moden, sejajar dengan persiapan negeri menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026. Dengan peruntukan bersama bernilai RM5 juta, inisiatif ini dilihat bakal menjadi pemangkin ekonomi baharu bagi kawasan sekitar Sungai Klang.


Magika Studios bakal dibangunkan di atas sebahagian kawasan seluas 70 ekar di Mangrove Point, yang terletak di dalam Hutan Simpan Raja Lumu. Projek ini unik kerana ia memanfaatkan ekosistem semula jadi hutan paya bakau sebagai latar belakang utama, dihiasi dengan teknologi pencahayaan imersif, pemetaan unjuran (projection mapping), dan sistem audio visual canggih.


Pengarah Urusan LLSB, Encik Syaiful Azmen Nordin menyifatkan kerjasama ini sebagai pencapaian penting di bawah Fasa II Pelan Pembangunan SMG (Pembangunan Berdaya Impak 2024-2030). Menurut beliau, Magika Studios bukan sekadar produk pelancongan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai platform pendidikan yang menterjemahkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) negeri Selangor ke dalam bentuk yang mudah dihadam oleh masyarakat.


"Projek ini mencerminkan komitmen kami dalam memperkukuh kesedaran awam tentang pemuliharaan alam sekitar melalui pendidikan kreatif. Ia bakal merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan di Selangor, menjadikan Sungai Klang lambang kelestarian dan kebanggaan negeri," kata Syaiful Azmen.
Magika Studios: Usahasama Strategik LLSB-KRU Bernilai RM5 Juta Transformasi Hutan Bakau Klang Jadi Destinasi Edutainment Bertaraf Dunia

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Entertainment, Dato' Norman Abdul Halim, mendedahkan bahawa konsep taman tema ini mengadaptasi elemen daripada francais filem 'Magika' terbitan mereka yang pernah memenangi pelbagai anugerah.


Menurut Norman, pengalaman di Magika Studios akan menjadi lebih spektakular pada waktu malam. Pengunjung akan disajikan dengan 10 zon tarikan sepanjang 1 kilometer laluan jalan kaki (boardwalk) yang sedia ada, menampilkan watak-watak dongeng Melayu seperti Badang, Puteri Gunung Ledang, dan Nenek Kebayan yang dihidupkan semula menerusi teknologi animatronik dan hologram.


"Kami menggabungkan kepakaran hiburan dan teknologi digital kami dengan aspirasi LLSB. Ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan Sungai Klang, tetapi membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan, dan ekonomi hijau," jelas Norman, sambil menambah bahawa kejayaan Wetland Studios Putrajaya yang menarik lebih 400,000 pengunjung menjadianda aras keyakinan bagi kejayaan projek ini.

Antara tarikan utama lain termasuk pameran interaktif untuk memupuk kasih sayang terhadap haiwan, aktiviti sungai, serta persembahan cahaya yang direka khusus untuk tidak mengganggu habitat semula jadi.


Kerjasama ini juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan dan ruang niaga bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan dan perkhidmatan di taman tema tersebut.



bottom of page