Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda ikonik negara, meraikan ulang tahun ke-28 dengan penuh gemilang. Sejak pembukaannya pada 1 Oktober 1996, menara ini telah menjadi simbol kemajuan dan aspirasi Malaysia.
Berdiri megah setinggi 421 meter, Menara Kuala Lumpur bukan sahaja berfungsi sebagai menara telekomunikasi tetapi juga sebagai destinasi pelancongan yang menarik ribuan pelawat setiap tahun. Dengan dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan 360 darjah bandaraya Kuala Lumpur, menara ini memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pengunjung.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. baru-baru ini telah dianugerahkan Anugerah Platinum bagi kategori Pelancongan Buatan Manusia di bawah inisiatif Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Penghargaan ini melengkapkan koleksi anugerah sebelum ini seperti Anugerah Pelancongan Malaysia, Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Anugerah Kualiti SIRIM, Anugerah Piawaian Pelancongan Lestari ASEAN, dan Anugerah Jenama Terbaik BrandLaureate.
Pengiktirafan ini juga melambangkan usaha berterusan Menara Kuala Lumpur dalam meningkatkan piawaian pelancongan serta mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam industri tersebut.
Bagi meraikan sambutan ulang tahun ini, Menara Kuala Lumpur dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran tarikan terbaharu, iaitu Observation Deck TH04. Terletak pada ketinggian 294 meter dari aras tanah, platform ini menawarkan pemandangan panoramik bandar raya Kuala Lumpur yang memukau.
Dengan keluasan yang lebih besar daripada dek sebelumnya, TH04 dijangka menjadi pilihan utama pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan kota dari perspektif baharu.
“Kami amat teruja untuk menyambut ulang tahun ke-28 ini dengan memperkenalkan Observation Deck TH04 kepada para pengunjung,” kata Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd.
“Sebagai mercu tanda Malaysia, kami akan terus berinovasi dalam menawarkan pengalaman luar biasa kepada semua pengunjung, baik dari dalam negara mahupun luar negara,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada acara itu, Menara Kuala Lumpur juga ingin menjemput pengunjung untuk berkongsi detik-detik menarik anda di media sosial dengan menggunakan hashtag #KLTower28. Sambutan ulang tahun Menara Kuala Lumpur ke-28 ini akan lebih bermakna dengan sokongan para pengunjung dalam meraikan dan berkongsi kemeriahannya kepada semua.
Menara Kuala Lumpur akan terus berusaha memperkenalkan lebih banyak tarikan dan pengalaman menarik untuk memastikan ianya kekal relevan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Dengan setiap tahun yang berlalu, Menara Kuala Lumpur akan terus menjadi lambang kemajuan dan mercu tanda kebanggaan negara.
Comments