“Paint The Town Red”: AirAsia Hausboom Festival 2025 Janji Pesta Muzik, Fesyen & Makanan Paling Epik
- MYB
- 27 Ogo
- 2 min membaca
SEPANG – Festival muzik dan gaya hidup tahunan terbesar, AirAsia Hausboom Festival 2025, kembali dengan penuh semangat di MAEPS Serdang pada 11 dan 12 Oktober ini. Kali ini, penganjur menjanjikan pengalaman lebih besar dan berani dengan konsep baharu, "Paint the Town Red". Warna merah dipilih sebagai simbol tenaga, keberanian, dan semangat gabungan Hausboom, AirAsia, dan Hotlink.

Festival ini melangkaui acara muzik biasa dengan kerjasama epik bersama AirAsia sebagai rakan kolaborasi utama. Peminat berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan menerusi Kempen AirAsia x Hausboom: Scan & Win yang sedang berlangsung sehingga Disember 2025. Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah 10 Tiket Penerbangan Percuma Tanpa Had Selama Setahun bersama AirAsia, tiket penerbangan pergi-balik ke 18 destinasi, baucar AirAsia MOVE, AirAsia RIDE & Ikhlas.com, serta hadiah tunai sehingga RM50,000.
Selain itu, buat julung kalinya, setiap pemegang tiket festival ini berpeluang membawa pulang sebuah kereta Perodua Ativa baharu melalui cabutan bertuah eksklusif. Kerjasama ini menjadikan festival bukan sahaja pengalaman muzik, tetapi juga peluang keemasan untuk pulang dengan hadiah terbesar dalam sejarah acara ini.

Azri Zahier Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, berkata festival kali ini turut menampilkan Hotlink sebagai rakan rasmi untuk tahun kedua berturut-turut. Hausboom dan Hotlink akan melancarkan empat tin edisi terhad yang membolehkan pengguna Hotlink mengakses ganjaran Menang Ahad dengan mengimbas kod QR. Hadiah-hadiah ini termasuk 1000 tiket percuma ke festival, telefon pintar, tambah nilai prabayar, internet percuma, dan baucar makanan & minuman.
Dengan lebih 32 artis lokal dan antarabangsa, festival ini bukan sekadar pesta muzik, tetapi satu perayaan budaya pop yang menyeluruh. Antara nama besar yang bakal menggegarkan pentas termasuk Dato’ M. Nasir, Ella, Dato’ Jamal Abdillah, Slam, K-Clique, Bunkface, Dolla, Samsons, Kunto Aji, Feby Putri dan ramai lagi. Turut memeriahkan acara ialah bakat baharu seperti Lucidrari, LOKO, TT.13, Spooky Wet Dreams dan The Rudean.

Bagi peminat makanan, Hausboom bakal bekerjasama dengan KL Foodie untuk membawakan Hausboom KL Foodie Fest, sebuah festival makanan yang menghimpunkan lebih 100 vendor unik. Pesta makanan ini dibuka secara percuma kepada semua peringkat umur dari jam 10 pagi hingga 12 malam.
Tidak ketinggalan, Hausboom Lokal Fest 2025 akan menampilkan lebih 80 jenama 'streetwear & lifestyle' termasuk SVG, Makerz, Kyrex, dan The Capcity. Turut disertakan adalah koleksi barangan terpakai eksklusif hasil kolaborasi dengan rakan rasmi Lokal Fest, SOVO.
Tiket boleh dibeli di laman web rasmi festival, dengan harga bermula dari RM119 untuk General Admission. Pas VVIP berharga RM1,200, menawarkan keistimewaan seperti pemandangan premium, hidangan dan minuman percuma tanpa had, serta laluan ekspres.









Komen