top of page
Writer's pictureMYB

PETRONAS Malaysian Cub Prix Kembali

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali untuk musim ke-30 pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang bersama-sama wajah baharu bagi kategori CP125.


Di antara mereka adalah Md Adam Haikal Jahar, juara bertahan bagi kategori Wira KBS dan rakan sepasukannya, Md Syamil Amysar Md Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang menduduki tempat kedua secara keseluruhan akan meneruskan semangat kejuaraan di kategori CP125. Pada musim lepas, kedua-dua pelumba tersebut telah memberikan saingan yang hebat dan telah menampilkan prestasi yang cemerlang. Walau bagaimanapun, Adam yang telah menaiki podium sebanyak 10 kali berjaya menumpaskan rakan sepasukannya Syamil dengan kelebihan sebanyak 19 mata secara keseluruhan.

Kata Adam, “Pada pendapat saya, peralihan ke kategori CP125 sudah pasti besar cabarannya kerana pelumba-pelumba di kategori tersebut lebih berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Walaubagaimanapun, saya tetap akan buat yang terbaik untuk memberikan saingan kepada para pelumba tersebut. Saya telah banyak belajar pada musim lepas dan saya akan membawa pengalaman tersebut ke kategori baharu ini. Teknik berlumba sudah tentu berlainan maka saya akan mempertingkatkan keberanian saya dan akan lebih fokus supaya saya dapat memahami dan belajar dengan lebih cepat. Matlamat saya adalah untuk mendapat tempat di podium ataupun “Top 5”.


Md Adie Putra Sukarno, juara musim 2022 bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series pula akan mara ke kategori CP125 bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Adie telah menampilkan suatu prestasi yang amat mengagumkan apabila beliau menyambar tempat pertama di podium untuk lapan pusingan berturut-turut dengan kumpulan mata sebanyak 195. Pada pusingan kesembilan, Adie mengambil kesempatan untuk berlumba di kategori CP125 tetapi tidak menamatkan perlumbaan. Pada pusingan kesepuluh, beliau tidak berlumba di mana-mana kategori kerana mengalami kecederaan. Adie, sebagai pelumba muda telah menampilkan potensi yang tinggi dalam sukan permotoran dan ini memberikan suatu harapan kepada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dalam pencapaian yang lebih cemerlang pada tahun 2023.

Kata Adie, “Cabaran utama saya pada musim ini adalah abang-abang senior yang lebih berpengalaman tetapi saya juga bersyukur kerana menyertai pasukan dengan para pelumba yang berkaliber. Saya akan menimba sebanyak pengetahuan daripada mereka dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan saya. Pasukan saya telah banyak membantu saya terutamanya dalam mempertingkatkan prestasi dan mengasah kemahiran berlumba saya. Motivasi saya buat musim ini adalah untuk mencapai suatu pencapaian yang bagus. Untuk itu, saya akan memberikan 100% fokus serta mengatur strategi terlebih dahulu sebelum perlumbaan agar saya lebih bersedia.”


Arash Tsunami Kamarudin, juara musim lepas bagi kategori AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing bagi kategori CP125. Arash juga telah mengambil tempat ketiga secara keseluruhan bagi kategori Yamaha PETRONAS Super Series. Bagi tiga pusingan terakhir, beliau telah menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing untuk bersaing dalam kategori Wira KBS. Kelebihan Arash terserlah dengan kemampuannya memahami dan mengendalikan jentera berbeza sepanjang musim lepas namun begitu, musim ini agak berbeza bagi beliau, lebih-lebih lagi di kategori yang agak hebat persaingannya.


Comments


bottom of page