PPIM Gesa Kerajaan Mansuh Sistem ‘Bidding’ E-Hailing, Tetapkan Kadar Tambang Lantai Demi Keadilan Pemandu
- MYB
- 12 minit lalu
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendesak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar atau bidding yang kini diamalkan oleh beberapa syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing.

Dalam satu kenyataan media, PPIM turut menggesa kerajaan agar segera menetapkan 'Kadar Tambang Lantai' bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan pendapatan para pemandu e-hailing tidak terus terjejas akibat persaingan harga yang tidak sihat.
PPIM menyifatkan pelaksanaan sistem bidding ini sebagai sesuatu yang mengelirukan dan tidak konsisten dengan dasar pengangkutan negara. Persatuan itu mempersoalkan mengapa perkhidmatan e-hailing dibenarkan menggunakan sistem tawar-menawar, sedangkan perkhidmatan teksi dilarang keras daripada melakukan perkara yang sama.
Situasi ini dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Pengangkutan sebelum ini yang menegaskan bahawa pihak kementerian tidak pernah memberi kebenaran rasmi untuk sistem tambang bidding beroperasi di Malaysia.
PPIM menekankan bahawa walaupun sistem ini mungkin memberikan kelebihan kos kepada pengguna, ia sebenarnya menindas pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada sektor ini sebagai sumber rezeki. Isu penurunan kadar tambang yang tidak terkawal sejak sistem ini diperkenalkan kini berada pada tahap kritikal.
"Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) seharusnya bersaing melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa," tegas PPIM dalam kenyataan tersebut.

Selain isu bidding, PPIM turut membangkitkan kegagalan kerajaan dalam menangani beberapa bebanan lama yang dihadapi pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing dan isu kuota BUD195 yang masih belum menemui jalan penyelesaian menyeluruh.
Sehubungan itu, PPIM meminta MoT dan APAD mengambil tindakan tegas tanpa sebarang alasan lagi demi mewujudkan ekosistem industri gig yang adil, mampan, dan seimbang buat semua pihak merangkumi pengguna, pemandu, dan syarikat penyedia perkhidmatan.





