Sajian Program Menarik Sepanjang Syawal Di Saluran TV AlHijrah
top of page
  • Writer's pictureMYB

Sajian Program Menarik Sepanjang Syawal Di Saluran TV AlHijrah

TV AlHijrah memilih untuk meraikan kempen Syawal 1444H dengan bertemakan Meriahkan Syawal, #EratkanJalinan. Tema ini adalah cerminan bahawa kesemua barisan rancangan yang disiarkan sepanjang sebulan Syawal di stesen ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah kekeluargaan.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kajian Nielsen Media menunjukkan stesen TV AlHijrah berjaya kekal sebagai saluran Islamik nombor satu Malaysia pada bulan Ramadan tahun ini. Dalam erti kata lain, TV AlHijrah menjadi pilihan utama rakyat Malaysia pada Ramadan dan telah mengungguli tangga pertama saluran Islamik ketika bulan Ramadan sejak tahun 2020.


“Pada Ramadan tahun ini, pencapaian saluran TV AlHijrah meningkat 151 peratus berbanding ketika Ramadan 2022. Peningkatan ti direkodkan pada minggu keempat Ramadan iaitu lebih 54 peratus berbanding pada minggu pertama.


“Antara penyumbang kejayaan ini ialah usaha pasukan penerbitan menyediakan pelbagai kandungan bermanfaat kepada penonton bermula dari siaran slot qiamullai seawal jam 4 pagi hingga slot moreh pada lewat malam.


“Selain itu, kita turut menekankan aspek dakwah kontemporari bagi memenuhi selera penonton yang semakin tinggi dan meningkat untuk program kerohanian alaf baru.


“Oleh yang demikian, kita mensasarkan lebih banyak kandungan berimpak tinggi diterbit dan disiar khusus buat penonton setia kami sepanjang Syawal yang mulia pula.” jelas Namanzee.


Menurut Namanzee, sebelas rancangan istimewa telah disusun indah oleh TV AlHijrah bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri penonton sekaligus mensasarkan peningkatan jumlah capaian terbaik stesen TV AlHijrah untuk Syawal pula.


Program-program tersebut adalah Peristiwa Malam Raya, Camca Raya, Carta 114, Tau-Tau Dah Raya Akademi Qurra’, Hijrah Berselawat Raya, Kembara Selawat Kanada Inteam, Telefilem Papa Balik Raya, Filem Kalam-Kalam Langit, Filem Paga Surau, Filem Iqro: Pertualang Meraih Bintang, dan Filem Lima Penjuru Masjid.

 


Kempen Meriahkan Syawal, #EratkanJalinan TV AlHijrah dimulakan dengan rancangan hiburan ilmiah berbentuk sitkom muzikal iaitu Peristiwa Malam Raya. Rancangan yang akan disiarkan pada malam raya, jam 10 malam ini menampilkan barisan selebriti seperti Shamsul Ghau Ghau, Amir Raja Lawak, Mamak Puteh, Farah Diyana Anuar dan Ustaz Jafri.


Sitkom ini mengisahkan tentang penduduk kampung Kuala Sepetang yang hidup bermasyarakat serta saling menjaga kebajikan antara satu sama lain. Pada setiap tahun di malam raya, orang kampung akan berkumpul di rumah Tok Su untuk bersama-sama bertakbir raya. Maka, terjadilah pelbagai kisah dan permasalahan yang perlu diselesaikan oleh Tok Penghulu dan Tok Imam.


Kempen diteruskan dengan rancangan Camca Raya, sebuah rancangan masakan akan bersiaran pada hari raya pertama, jam 5.30 petang. Menerusi rancangan ini, Chef Nabil Salleh akan membawa penonton meronda dan melihat panorama kampung sambil membeli hasil ternakan serta hasil tanaman penduduk setempat. Chef Nabil Salleh turut menyajikan cadangan hidangan Aidilfitri menggunakan bahan masakan terpilih penduduk kampung.



Rancangan Carta 114 pula menyusul pada jam 6.30 petang. Rancangan ini menampilkan artis Nasyid terkenal tanah air seperti Saujana dan UNIC yang akan mempersembahkan lagu-lagu raya klasik masa dulu yang menjadi kenang-kenangan sehingga kini.


Seterusnya, Tau-Tau Dah Raya Akademi Qurra’ pula disiarkan pada hari raya pertama dan kedua, jam 9 malam. Program ini menampilkan barisan tilmiz dan tilmizah dari rancangan realiti Akademi Qurra’ yang akan berkongsi kisah sambutan aidilfitri mereka bersama keluarga tercinta.


Tidak tertumpu kepada rancangan kerohanian dan dokumentari sahaja, TV AlHijrah turut memilih untuk menyajikan telefilem tempatan berjudul Papa Balik Raya. Telefilem yang disiarkan pada 1 Syawal, jam 10 malam ini dibintangi oleh Fathia Latif, Malek Mccrone, Abbas Mahmood, serta Iman Aneesa. Ia mengisahkan tentang keluarga Iskandar dan Tania yang binasa akibat keegoan dan darah muda. Kegagalan mereka untuk menyeimbangkan kerjaya, keluarga serta masa depan membuatkan pelbagai konflik timbul.


Selain itu, TV AlHijrah juga mengajak para penonton untuk turut sama dalam sesi zikrullah menerusi rancangan Hijrah Berselawat Raya. Program ini akan disiarkan pada 3 Syawal, jam 9 malam. Dengarkan alunan selawat, qasidah, tausiyah serta perkongsian kisah nabi yang menarik oleh Ustaz Jafri Mahmood, Ustaz Husaini, kumpulan Raihan, Inteam, Azan Ruffedge, Marha Band dan Firlany serta ramai lagi.



Jangan ketinggalan untuk mengikuti pengembaraan dan hijrah selawat kumpulan nasyid terkenal, Inteam dalam sebuah rancangan dokumentari travelog iaitu Kembara Selawat Kanada Inteam pada 4 Syawal, jam 9 malam. Program ini akan membawa penonton menelusuri gaya kehidupan sebagai seorang muslim di negara orang terutamanya negara yang majoriti penduduknya adalah bukan muslim. Program ini juga berkongsi tentang disebalik tabir perjalanan mereka dalam mengadakan persembahan nasyid di sekitar Ontario, Kanada.


Istimewa Syawal ini juga, TV AlHijrah juga akan menghidangkan filem-filem terbaik dari negara seberang pada setiap hari Ahad. Antara koleksi filem-filem tersebut adalah Kalam- Kalam Langit, Paga Surau, Iqro: Pertualang Meraih Bintang, dan Lima Penjuru Masjid.



Filem Kalam Kalam Langit berkisar tentang Ja'far, seorang pemuda yang bercita-cita untuk menjadi seorang juara tilawah al-Quran. Namun, keinginannya itu ditentang oleh Ayahnya yang selalu mengingatkan agar tidak memperjual belikan kalam-kalam Ilahi hanya kerana populariti dan hadiah semata-mata. Saksikan kesudahan kisah Ja’far yang penuh liku ini pada Syawal kedua, jam 10 malam.


Filem cereka Indonesia yang seterusnya iaitu Paga Surau berkisahkan tentang perjalanan hidup Uda Irul dan Uda Kunir yang diusir dari kampung kerana dituduh mencuri. Ketahui nasib kehidupan mereka selepas kejadian yang memalukan itu pada 30 April 2023 jam 9 malam.


Saksikan juga filem Iqro: Pertualang Meraih Bintang yang akan bersiaran pada 7 Mei 2023 jam 9 malam. Filem ini berkisahkan tentang Aqila, seorang kanak-kanak yang sangat cintakan ilmu tetapi tidak berminat untuk belajar al-Quran. Datuk Aqila yang bekerja sebagai ahli astronomi dan tinggal di Pusat Pemantauan Bintang Boscha adalah idola Aqila untuk terus menimba ilmu astronomi di sekolahnya. Namun, Aqila perlulah mahir membaca Al-Quran terlebih dahulu. Pengalaman Aqila mempelajari al-Quran dan teladan datuknya telah menggerakkan mata hatinya mengenai kebesaran Allah SWT yang menciptakan alam semesta.


Cereka Indonesia bertajuk Lima Penjuru Masjid pula berkisahkan tentang seorang jejaka bernama Bewok yang menyaksikan empat kisah hidup daripada pelbagai perspektif berbeza. Empat kisah hidup tersebut adalah kisah Budi, Abian, Usman dan Lukman serta Gani yang masing-masing mempunyai taraf hidup yang berbeza. Filem ini akan menceritakan bagaimana Bewok menafsirkan perjalanan hidup lima pemuda tersebut hingga menjadi taat dalam beribadah dan rajin ke masjid. Tonton dan teladani kisah mereka pada 14 Mei 2023 jam 9 malam.


Jadi, jangan lupa untuk terus menonton TV AlHijrah sepanjang Syawal ini. Pastinya pelbagai pengajaran dan pembelajaran dapat diperolehi seisi keluarga. Penonton juga boleh menonton rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen menerusi aplikasi digital AlHijrah Plus.


bottom of page