• MYB

SERDANG BC Mara Ke Pusingan Akhir AEON Credit Purple League Junior 2021/2022

Serdang BC menepati ramalan apabila mempamerkan persembahan garang sekaligus mudah mengesahkan slot mereka ke pusingan akhir AEON Credit Purple League Junior 2021/2022 (ACPLJ) selepas menafikan saingan Subang Jaya BC 15-4 pada hari terakhir pusingan ketiga yang berlangsung di Tops Arena Empire Cheras.

Pasukan bawah 18 tahun mereka walaubagaimanapun diberi tentangan hebat pada perlawanan pertama apabila gandingan beregu campuran Yap Juin An-Lik Qi Ling berhempas pulas untuk meraih kemenangan 3-2 ke atas pasangan Wong Zi Yi-Muhd Bilal.

AEON Credit Purple League Junior 2021/2022
Serdang meneruskan momentum mereka menerusi perseorangan lelaki Ting Wen Xuan yang menang mudah 3-0 ke atas Danish Iskandar pada perlawanan kedua.

Serdang meneruskan momentum mereka menerusi perseorangan lelaki Ting Wen Xuan yang menang mudah 3-0 ke atas Danish Iskandar pada perlawanan kedua.

Kemenangan ketiga mereka pula disumbang oleh Tan Yan Yi dalam kategori perseorangan perempuan hasil kemenangan 3-1 ke atas Wong Zi Yi.

Pasangan beregu lelaki Serdang BC, Wong Chin Hong - Wong Chuan Chui pula meletakkan mereka dalam kedudukan selesa untuk ke pusingan akhir susulan kemenangan 3-0 dalam tempoh 20 minit ke atas gandingan Lee Jun Jie - Syamsul Hadi pada perlawanan keempat.

Kemenangan bergaya mereka akhirnya dimuktamadkan oleh gandingan Lim Qian Thong - Tan Po Yee hasil persembahan cemerlang menewaskan pasangan Chang Yi-Intan Waheeda 3-1 dalam aksi beregu perempuan.

Mengulas persembahan Serdang BC, pemiliknya Ong Ewe Hock mengakui persiapan rapi yang dilakukan telah membantu pasukannya mara ke pusingan akhir.

“Kami telah melakukan persiapan dari tahun lepas dan ianya membuahkan hasil apabila saya melihat konsistensi dan kesungguhan dipamerkan oleh para pemain yang akhirnya membawa kita ke pusingan akhir.

Beliau menambah, “Tetapi, masih ada lagi di antara mereka yang belum memberi persembahan 100 peratus dan saya percaya mereka akan keluarkan segala apa yang ada menjelang pusingan akhir bulan depan.

Meskipun tewas di tangan Serdang BC, Subang Jaya BC tetap berjaya mendapatkan slot mereka di peringkat akhir selepas muncul naib juara kumpulan A selepas menewaskan Bangi City BC 11-8 pada semalam.

Di dalam kumpulan B pula, Kajang United BC yang bergelar juara kumpulan akan diiringi oleh Rawang BC selepas mereka menjinakkan Jinjang BC 15-2.


Pusingan akhir ACPLJ 2021/2022 akan dilangsungkan pada 19 dan 20 Februari bertempat di Gem In Mall Cyberjaya dengan juara bagi kategori bawah 18 tahun akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 bagi juara kategori bawah 15 tahun.


0 comments