top of page
Writer's pictureMYB

Shahrol Shazras Tampil Lebih Bersemangat

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan kembali ke Dataran Seri Jempol pada hujung minggu ini dengan aksi-aksi yang lebih menarik. Shahrol Shazras Shahrol Yuzy dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team yang telah meraih kemenangan pertama di pusingan satu sudah bersedia untuk menyahut cabaran yang menanti.


Shahrol Syazras mula beraksi di sukan permotoran pada tahun 2017 di kategori Wira KBS dan beliau mara ke kategori CP125 pada tahun 2018 sebelum ke CP150 pada tahun 2020. Walaupun pada mulanya, beliau telah menghadapi cabaran sepertimana pelumba-pelumba baru di kategori tersebut, Shahrol Syazras telah mempelajari selok-belok berlumba dan menampilkan peningkatan prestasi dari semasa ke semasa.

Kata Shahrol Syazras, “Ayah saya merupakan inspirasi saya, yang juga telah mencungkil minat saya di sukan permotoran ini. Walaupun saya telah menyuarakan hasrat saya untuk berlumba pada umur 13 tahun, hasrat tersebut tidak diberikan galakan. Jadi, saya pujuk lagi dan akhirnya beliau telah memberikan saya kepercayaan ketika saya berumur 15 tahun. Kemenangan ini memberikan saya satu motivasi baru untuk terus belajar sambil menikmati adrenali perlumbaan.”


Musim ke-30 akhirnya membuahkan hasil bagi Shahrol Syazras apabila beliau tampil dengan strategi yang mantap di lap terakhir. Shahrol Syazras telah mempamerkan teknik yang hebat apabila peluang terbuka baginya dan beliau terus mengambil kesempatan untuk memintas dan memecut ke garisan penamat.

Menurut Shahrol Syazras, “Jentera kami, Honda RSX mempunyai kelebihan di litar besar. Bertambah lagi dengan “setup” yang baik daripada pasukan kami. Litar Jempol adalah agak teknikal dan ini hanyalah tahun kedua bagi saya di litar tersebut di kategori CP150. Sudah pasti ia lebih mencabar tetapi saya akan cuba meningkatkan prestasi selangkah demi selangkah. Persiapan adalah seperti biasa. Saya akan lebihkan fokus terhadap kecergasan fizikal dan mental.”

“Pasukan kami jarang melakukan latihan di litar dan oleh itu, usaha terpulang kepada keazaman sendiri. Saya banyakkan latihan berjoging di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya dan saya juga suka acara marathon. Ini memang banyak membantu saya dalam persiapan fizikal. Pasukan kami juga seperti biasa akan membuat pemeriksaan jentera dan ubahsuai untuk kegunaan pusingan yang akan datang.”


Comments


bottom of page