• MYB

Adik Beradik Azlan Wakili Malaysia Untuk eRacing Ke Kejohanan SEA eSports

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) telah mengumumkan pasangan adik beradik, Naquib Azlan dan Nabil Azlan untuk mewakili negara bagi acara eRacing GP yang akan dipertandingkan buat julung kalinya pada Kejohanan SEA eSports (SEA EC) pada 9 Januari nanti.


Naquib Azlan
Naquib Azlan bakal menggalas cabaran mewakili Malaysia ke kejohanan SEA eSports (SEA EC)

Naquib dan Nabil yang mendominasi pusingan kelayakan kebangsaan pada 3 Januari lalu sekaligus menafikan peluang Ayman Aqeem yang meraih tempat ketiga. Naquib, abang kepada Nabil, memenangi pusingan kelayakan selepas mendahului selesa pada pusingan kelayakan.


Naquib merupakan juara dua kali kategori emas bagi eRacing GP manakala Nabil yang sentiasa mengekori rapat abangnya itu pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Toyota Gazoo Racing Velocity Esports pada tahun lalu.


“Saya sangat berbangga dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia bersama-sama adik saya Nabil. Ini merupakan peluang terbaik untuk kami mempamerkan aksi yang terbaik serta mencabar pelumba serantau,” kata Naquib.


Dua pelumba terbaik dari tujuh negara akan berentap pada pusingan akhir yang akan berlangsung 9 Januari ini. Antara negara yang mengambil bahagian ialah Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Vietnam dan Filipina.


“Saya amat teruja. Ini adalah kali pertama eRacing dipertandingkan dalam SEA EC dan ia adalah satu pengiktirafan buat warga sukan permotoran. Saingan sudah pasti akan lebih menarik memandangkan semua negara menghantar pelumba terbaik mereka." ALEX YOONG, Pengasas eRacing GP


Antara yang perlu diberikan perhatian adalah pelumba berusia 17 tahun dari Filipina, Inigo Anton yang pernah meraih beberapa kejuaraan sepanjang 2021 selain pelumba muda dari Singapura, Dillan Tan. Dillan yang baru berusia 13 tahun sentiasa meraih kedudukan podium.


Mereka akan menggunakan jentera Z-Challenger Audi RS3 dengan warna negara masing-masing di dalam tiga pusingan perlumbaan.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah 10,000$ dan aksi pusingan akhir akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro eGG Network jam 11:45 pagi pada Ahad ini.



Kejuaraan SEA EC dilangsungkan di Vietnam pada 2 hingga 16 Januari menghimpunkan 52 buah pasukan dari 10 persekutuan sukan elektronik seluruh Asia Tenggara yang akan bertanding untuk merebut wang tunai berjumlah 140,000$.


0 comments