top of page

AIM24 Kembali Lebih Meriah Dengan Pengenalan 3 Kategori Baharu & Dana RM700,000!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 4 Jun
  • 2 min membaca

Selepas tiga tahun menyepi, Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali mewarnai pentas seni negara dengan edisi ke-24 yang dijangka paling meriah dan inklusif setakat ini. AIM24 bukan sahaja meraikan keunggulan muzik tempatan, malah tampil dengan tiga kategori baharu yang menepati denyut nadi semasa industri: Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.


AIM24 Kembali Lebih Meriah Dengan Pengenalan 3 Kategori Baharu & Dana RM700,000!

Penganjuran AIM24 oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025 dan akan disiarkan secara langsung menerusi RTM, penyiar rasmi buat julung kalinya.


Menurut Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim, kategori baharu ini mencerminkan komitmen AIM dalam merangkumi kepelbagaian budaya, kolaborasi antarabangsa dan pemeliharaan warisan muzik negara. “Lagu perpaduan dan tradisional melambangkan nilai jati diri kita, manakala kategori kolaborasi luar negara meraikan pencapaian artis kita di pentas global,” ujarnya.


Lebih membanggakan, AIM24 kali ini turut mendapat suntikan dana besar berjumlah RM700,000 daripada Kementerian Komunikasi Malaysia menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures. Dana ini akan diagihkan kepada 11 pemenang terpilih bagi menyokong usaha penerbitan, promosi dan pengedaran karya kreatif tempatan yang berkualiti tinggi.


AIM24 Kembali Lebih Meriah Dengan Pengenalan 3 Kategori Baharu & Dana RM700,000!
Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim menjelaskan penambahan 3 kategori baharu adalah sebahagian daripada usaha memperkasa industri muzik tempatan agar lebih inklusif dan relevan dengan perkembangan semasa.

Pengarah, Bahagian Program TV, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Encik Reza Sariman Othman yang hadir mewakili Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman turut menyuarakan keterujaannya terhadap kerjasama ini. “Sebagai penyiar nasional, kami bangga menjadi sebahagian daripada platform berprestij ini yang bukan sahaja meraikan kreativiti, tetapi juga berperanan sebagai jambatan penyatuan budaya menerusi muzik,” katanya.


Tempoh pencalonan bagi AIM24 telah dibuka bermula 4 Jun hingga 4 Julai 2025 untuk semua karya muzik yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024 dalam pelbagai bahasa – Melayu, Inggeris, Cina, dan India. Sementara itu, pengumuman lima (5) finalis akhir AIM24 dijangka pada Ogos 2025. Proses penjurian pula kekal telus dan profesional, dikendalikan oleh panel pakar bebas serta diaudit secara rasmi.


Dengan 31 kategori anugerah termasuk Anugerah Sri Wirama dan kategori strim tertinggi digital, AIM24 menjanjikan malam yang bukan sahaja gah tetapi penuh makna buat industri muzik Malaysia. Layari www.aim1.org.my untuk maklumat lanjut mengenai pencalonan dan perkembangan terkini.



Comments


bottom of page