RM100,000 Dalam Satu Malam! Konsert Legends Satukan Ikon Rock & Misi Kemanusiaan
- MYB
- 28 minit lalu
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR – Gabungan irama nostalgia dan semangat kemanusiaan mencetuskan fenomena tersendiri apabila Konsert Legends berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 dalam satu malam yang berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dianjurkan bersempena sambutan jubli perak Persatuan Karyawan, acara makan malam amal yang dihadiri lebih 500 tetamu ini bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya menjadi talian hayat buat penggiat seni yang sedang diuji kesusahan.
Suasana dewan gamat selama hampir empat jam dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan rock ikonik, Sweet Charity selaku tarikan utama. Malam tersebut turut diserikan dengan vokal emas Dato’ Khadijah Ibrahim, Kopratasa, dan Dato Ito Blues Gang, selain segmen penghormatan khas buat Allahyarham S. Atan.

Peminat rock tanah air turut terpukau dengan penyatuan 'gergasi' gitar negara—Man Kidal, Kid Search, Simon Carefree dan Sharul Ekamatra—di atas satu pentas, mengimbau kembali era kegemilangan rock tempatan.
Presiden Karyawan, Dato Freddie Fernandez meluahkan rasa syukur apabila sasaran kutipan RM100,000 berjaya dicapai. Dana ini disalurkan terus kepada enam penggiat seni yang memerlukan termasuk pelawak Salleh Yaacob, pelakon veteran Mak Jah, Olie (Heavy Machine), Murali Abdullah, Opie Black Maria dan Sharonizam.

Momen paling menyentuh hati disaksikan apabila Kenanga Juwita, anak kepada Olie Heavy Machine, tampil meniup saksofon mewakili bapanya yang kini uzur. Selain itu, lelongan lukisan karya Cheb Ali turut berjaya meraih bidaan sebanyak RM5,000 daripada tetamu korporat.
Kejayaan konsert ini membuktikan bahawa industri seni tanah air masih utuh dengan semangat setiakawan, menjadikan muzik sebagai jambatan kasih sayang dan kebajikan.





