'Demi Sebuah Rindu': Terapi Jiwa Julie Ezwin, Didie Shazry Galas Misi Rawat Mental Lewat Muzik
- MYB
- 15 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Dalam satu majlis penuh emosi yang berlangsung di St. Regis Kuala Lumpur semalam, industri muzik tanah air disajikan dengan sebuah naskhah 'healing' yang cukup istimewa berjudul Demi Sebuah Rindu.

Projek ini bukan sekadar pelancaran album biasa, sebaliknya ia adalah manifestasi kisah benar dan perjalanan jiwa penulis lirik serta produser, Julie Ezwin, yang diterjemahkan ke dalam bentuk melodi oleh bakat muda, Didie Shazry.
Dibiayai dengan sokongan MyCreative Ventures, projek Demi Sebuah Rindu: Music & Mental Health ini menampilkan lima buah lagu asal iaitu Pendam, Dakapan Ilahi, Cocoon, Yakini Janji, dan Open Up. Dua daripada lagu tersebut, Pendam dan Open Up, turut hadir dengan video muzik rasmi yang telah dilancarkan serentak.

Keunikan projek ini terletak pada gabungan dua generasi berbeza. Julie Ezwin, seorang ibu dan pejuang 'Bipolar Disorder' yang menulis berdasarkan pengalaman "hidup dan luka" peribadinya, memilih Didie Shazry, juara program realiti Raise The Star musim pertama yang juga pelajar Fakulti Muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebagai "suara" untuk menyampaikan rasa hati tersebut.
Bagi Julie, muzik adalah ruang terapi untuk beliau berdamai dengan gangguan bipolar yang dialaminya. Sehingga kini beliau telah menghasilkan 20 naskah lirik lagu.
"Saya menulis dari pengalaman hidup. Muzik menjadi ruang untuk menyembuh dan memberi makna," ujar Julie mengenai naskhah ini.
Dari keseluruhan jumlah tersebut Didie telah memilih 9 naskah lirik lagu dan menciptakan komposisi melodi indah untuk menghidupkan lagu-lagu tersebut. Bagi Didie, tanggungjawab membawakan lagu-lagu berat ini memerlukan penghayatan yang mendalam.
"Lirik ini mengajak saya mendengar, bukan sekadar menyanyi," jelas penyanyi muda itu yang turut bertindak sebagai komposer.

Tidak terhenti di sini, momentum Demi Sebuah Rindu bakal diteruskan ke tahun hadapan. Pihak produksi mendedahkan bahawa empat lagi lagu tambahan telah siap dirakam dan bakal dilancarkan secara berperingkat sepanjang tahun 2026.
Lebih menarik, satu siri jelajah University Tour: Music & Mental Health akan digerakkan ke seluruh negara. Inisiatif ini bertujuan membuka ruang dialog bersama pelajar dan belia mengenai kesihatan mental, menjadikan seni sebagai medium pendidikan dan sokongan emosi.
Projek ini kini membuka peluang kepada pihak korporat untuk kolaborasi dan penajaan bagi penerbitan tujuh lagi video muzik serta penganjuran jelajah universiti tersebut.
Kelima-lima lagu dalam album Demi Sebuah Rindu kini boleh didengar di semua platform penstriman muzik digital manakala 2 video muzik 'Pendam' dan 'Open Up' akan diluncurkan di platform penstriman video pada 1 Januari 2026.









Komen