Aiman Ameer Dan Nurel Berjaya Rangkul Gelaran Juara Hero Dan Dewi Remaja 2023
top of page
  • Writer's pictureMYB

Aiman Ameer Dan Nurel Berjaya Rangkul Gelaran Juara Hero Dan Dewi Remaja 2023

Pencarian Hero dan Dewi Remaja 2023 telah berakhir semalam selepas lapan episod mendebarkan bersiaran di Astro Ria. Aiman Ameer telah dinobatkan sebagai Hero Remaja 2023, manakala Nurel telah dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2023, meninggalkan 10 peserta lain yang turut bertarung tanpa jemu di pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023.


Hero dan Dewi Remaja 2023
Nurel (kiri) dan Aiman Ameer (kanan) berjaya dinobatkan sebagai Hero dan Dewi Remaja 2023 semalam

Kedua-dua juara membawa pulang hadiah wang tunai RM10 ,000, trofi, dan mahkota Dewi Remaja 2023, yang disampaikan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. Tracie Sinidol, Dewi Remaja 2022, dan Mierul Aiman, Hero Remaja 2021, hadir di pentas utama untuk menobatkan pengganti mereka seterusnya.


Dalam pertandingan yang sangat kompetitif, naib juara Hero Remaja 2023 disandang oleh Fitri, manakala naib juara Dewi Remaja 2023 dimenangi oleh Arabella, yang mengekalkan prestasi konsisten sepanjang pertandingan. Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.


Selain gelaran Hero dan Dewi Remaja 2023, pemenang bagi kategori Hero dan Dewi Inspirasi dipilih secara eksklusif oleh penaja, Yaya Nadia Empire. Penerima anugerah Hero dan Dewi Inspirasi, Aiman Ameer dan Adrina, masing-masing menerima kontrak kerjasama bernilai RM20,000 dan trofi.



Menerusi sistem undian peminat di laman web REMAJA (www.remaja.my), anugerah Hero dan Dewi 'Favourite', masing-masing menjadi milik Razin Qidran dan Nurel. Selain itu, kategori 'Best Chemistry Duo' dimenangi oleh Jay Iskandar dan Arabella. Setiap pemenang kategori ini menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.


Sewaktu pertandingan akhir Hero dan Dewi Remaja 2023, para peserta dinilai oleh panel juri berpengalaman, termasuk juri tetap dan mentor Scha Alyahya, serta juri jemputan Datuk Aznil Hj Nawawi dan Datuk Yusry Abdul Halim.


Fiezreen Ahmad, Ketua Bahagian Jeneral Baharu, Lelaki & Hobi di Nu Ideaktiv Sdn Bhd, melahirkan rasa puas hatinya dengan detik bersejarah menobatkan dua juara sekaligus, kali pertama dalam sejarah Dewi & Hero Remaja dalam tempoh 38 tahun kewujudannya .


"Pemilihan Aiman Ameer dan Nurel sebagai pemenang dilihat tepat, kerana mereka mampu meneruskan legasi juara terdahulu. Pertandingan ini bukan sahaja mengiktiraf bakat cemerlang malah menjadi batu loncatan kepada mereka untuk menerokai dunia seni, membina keyakinan diri, dan menjadi inspirasi kepada generasi hari ini," jelas Fiezreen.


Sepanjang lapan minggu pertandingan berlangsung, kesemua 16 peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu dan aktiviti kerja sosial yang bermanfaat kepada mereka. Mereka juga diberi peluang untuk muncul dalam program digital yang dianjurkan secara strategik untuk mendapat lebih banyak pendedahan terutama dalam industri seni Malaysia.



Hero dan Dewi Remaja 2023
Barisan peserta pencarian Hero dan Dewi Remaja 2023

Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari melahirkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh semua peserta Hero dan Dewi, serta juri dan panel jemputan yang terlibat dalam menjayakan Hero Dewi Remaja 2023.


“Astro ingin mengucapkan tahniah kepada juara Hero dan Dewi Remaja 2023 di atas kejayaan mereka. Pihak syarikat berharap apa yang mereka pelajari daripada program ini dapat diaplikasikan dalam apa jua bidang yang mereka pilih untuk diceburi pada masa hadapan.


“Astro juga telah merancang inisiatif bukan sahaja untuk juara tetapi untuk semua 16 peserta, untuk mempromosikan nama mereka dalam industri tempatan selepas program tamat,” jelas Idlan lanjut.


Pertandingan Hero dan Dewi Remaja 2023 yang telah memasuki edisi ke-13 ditaja oleh Yaya Nadia Empire dan dianjurkan oleh Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro sebagai penyiar rasmi.

bottom of page