top of page

Reunion Epik AF8!, 'Cikgu' Norman Jodohkan Semula Adira & Shahir Selepas 15 Tahun

  • Writer: MYB
    MYB
  • 10 Dis 2025
  • 2 min membaca

Nostalgia Akademi Fantasia kembali menghangatkan industri muzik apabila dua bintang popular, Adira Suhaimi dan Shahir Zawawi, bergabung dalam single terbaharu berjudul “Hanya Kamu”. Kolaborasi ini bukan sekadar duet biasa, tetapi sebuah “reunion” penuh emosi selepas 15 tahun mereka mencipta fenomena bersama dalam program realiti TV popular Akademi Fantasia 8 (AF8).


Reunion Epik AF8!, 'Cikgu' Norman Jodohkan Semula Adira & Shahir Selepas 15 Tahun

Lebih manis, penyatuan dua vokalis hebat ini mendapat sentuhan keramat daripada bekas Pengetua mereka sendiri, Dato' Norman Abdul Halim, yang bertindak selaku komposer dan penerbit lagu tersebut.


Kolaborasi ini disifatkan sebagai momen "reunion" yang cukup bermakna. Menurut sumber, ini adalah kerjasama rasmi pertama melibatkan Adira dan Shahir sejak mereka meninggalkan pentas AF8 pada tahun 2010.


Dato' Norman mendedahkan bahawa pemilihan pasangan duet ini bukan dibuat secara tangkap muat. Beliau, yang mesra disapa sebagai 'Cikgu' oleh bekas pelajarnya, menjelaskan bahawa lagu ini menuntut emosi dramatik yang tinggi.


"Individu pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Adira, memandangkan reputasinya sebagai Ratu OST. Dari situlah timbulnya idea untuk menggandingkannya dengan Shahir, kerana kedua-dua mereka merupakan bekas anak didik saya di AF kira-kira 15 tahun yang lalu," jelas Norman mengenai strategi 'menjodohkan' semula dua bintang ini.
Reunion Epik AF8!, 'Cikgu' Norman Jodohkan Semula Adira & Shahir Selepas 15 Tahun

Bagi Adira, projek ini bukan sekadar rakaman lagu, tetapi satu perjalanan menggamit memori. Beliau mengakui kali terakhir bertemu Shahir adalah tujuh tahun lalu dan mereka tidak pernah berduet di luar pertandingan AF.


"Saya benar-benar tidak sangka mendapat peluang ini, dan ia semestinya mengembalikan nostalgia ketika saya, Shahir dan Cikgu Norman bersama-sama dalam rancangan realiti itu 15 tahun yang lalu," ujar Adira yang teruja dengan pertemuan semula tiga penjuru ini.

Manakala Shahir pula menyahut cabaran ini dengan mempertaruhkan sisi vokal baharunya menerusi genre R&B yang belum pernah dicubanya sebelum ini, sambil menyifatkan lirik "Hanya Kamu" sangat menyentuh hati.


Lagu "Hanya Kamu" yang mengangkat tema cinta sejati, pengorbanan, dan kesabaran dalam menempuh ujian , dipilih secara rasmi sebagai lagu tema (OST) bagi filem sekuel blokbuster yang paling dinantikan, "Duyung: Legenda Aurora".


Filem yang bakal menemui penonton pada 25 Disember 2025 ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Saiful Apek, Anna Jobling dan Yusry KRU, mengisahkan misi menyelamatkan anak Puteri Duyung daripada saintis jahat, Dr. Evo.


Peminat kini boleh mula menstrim lagu "Hanya Kamu" di semua platform digital bermula 5 Disember 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube KRU Music.


Komen


bottom of page