Vokal Emas Vanessa Reynauld Tembusi Tembok Besar, Lancar Single Mandarin Pertama ‘Would You Leave Me Too?’
- MYB
- 4 minit lalu
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Bintang pop tanah air yang kian menyinar, Vanessa Reynauld, kini melangkah setapak lagi dalam kerjaya seninya dengan pelancaran single Mandarin pertamanya, 'Would You Leave Me Too?' (你会不会一样离开我). Lagu yang sarat dengan emosi ini telah menemui peminat di semua platform penstriman digital bermula 28 November lalu, sebagai penutup tirai tahun 2025 yang bermakna buat penyanyi kelahiran Klang tersebut.
Penerbitan single ini dilihat sebagai langkah berani Vanessa untuk menembusi pasaran muzik Mandarin serantau, susulan penglibatannya yang membanggakan dalam program variasi muzik popular di China, The Voice Power. Menerusi program yang memperkenalkan format "pendengaran buta" itu, vokal ampuh Vanessa berjaya memikat hati juri tanpa perlu melihat penampilannya terlebih dahulu.
'Would You Leave Me Too?' bukan sekadar lagu cinta biasa. Menurut Vanessa, karya ini adalah refleksi mendalam mengenai ketakutan terhadap kehilangan, perubahan, dan kerapuhan hubungan sesama manusia. Dihasilkan oleh komposer tempatan berbakat seperti Hanz Koay, Shio, dan Rooy Ang, lagu ini menggabungkan elemen balada piano yang lembut dengan sentuhan R&B dan akustik, menyerlahkan lagi kebolehan vokal Vanessa yang dinamik—daripada nada rendah yang lunak kepada nada tinggi yang memukau.
Vanessa mendedahkan bahawa inspirasi lagu ini turut berkait rapat dengan kebimbangan peribadinya terhadap ahli keluarga.
"Saya mempunyai abang sulung yang menghidap sindrom Down, dan kesihatannya agak merosot kebelakangan ini. Kadang-kadang, saya tidak tahu bila masanya dia mungkin meninggalkan saya," kongsi Vanessa dengan nada sebak.
Beliau turut menambah bahawa lagu ini adalah dedikasi buat ibu bapanya yang kini berusia lewat 70-an, serta persoalan yang sering bermain di fikiran tentang masa depan bersama mereka.

Anak seni berusia 23 tahun ini bukanlah asing dalam persada muzik antarabangsa. Fasih berbahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin, Vanessa pernah mencipta nama menerusi The Voice of China 2023 di mana persembahannya mendapat pujian sebulat suara daripada barisan mentor.
Reputasinya semakin kukuh apabila dipilih mewakili Malaysia dalam Sing! Asia 2025 dan membuat penampilan istimewa di Beijing Radio and Television Spring Festival Gala 2025. Di peringkat domestik, beliau pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan menerima pengiktirafan Double Platinum bagi lagu hits 'Rindu Separuh Nyawa' bersama Naqiu.
Peminat kini boleh menghayati sisi baharu Vanessa yang lebih sentimental dan matang menerusi semua platform penstriman digital serta video lirik rasmi lagu terebut di platform Youtube Vanessa Reynauld.





