Aina Abdul Cipta Sejarah, 'Terus Hidup' Ungguli AJL37
top of page
  • Writer's pictureMYB

Aina Abdul Cipta Sejarah, 'Terus Hidup' Ungguli AJL37

Acara penuh berprestij Anugerah Juara Lagu ke 37 yang bertemakan 'Dimensi Muzik' telah mengangkat lagu 'Terus Hidup' nyanyian Aina Abdul sebagai juara AJL 37. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul itu berjaya menggondol hadiah utama berupa trofi berserta wang tunai berjumlah RM100,000.


Aina Abdul ungguli Vokal Terbaik serta Juara AJL 37

Posisi naib juara pula disandang oleh gandingan duo 'hiphop' SonaOne & Joe Flizzow menerusi lagu 'Satu Malam Di Temasek' yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Alif Satar & The Locos menerusi lagu yang berjudul 'Anugerah Terindah' yang berjaya meraih hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.


Kemantapan vokal Aina Abdul ketika mendendangkan lagu 'Terus Hidup' membawa tuah buatnya apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.


Sementara itu persembahan luar biasa Shiha Zikir yang bertemakan 'laser dance' ketika mendendangkan lagu 'Irama' membawa tuah buatnya apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.


Alha Alfa Cosmetics turut meraikan Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang dimenangi oleh Khai Bahar yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 12,000. Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa adalah berdasarkan jumlah undian tertinggi oleh para peminat di akaun rasmi TikTok Alha Alfa sepanjang siaran AJL 37 berlansung.


GALERI


Malam kemuncak AJL 37 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai tiga genre muzik iaitu Rock, Etnik Kreatif dan Hip Hop yang dijayakan oleh Azlan The Typewriter (Lagu Untukmu), De Fam & Wany Hasrita (7 Nasihat - Etnik Kreatif), Kaka Azraff dan Syamel (Nuri - Rock) dan Tuju, Loca, Syamel dan Waris (Mentera Semerah Padi & Mantera Beradu - Etnik Kreatif & Hip Hop).


Manakala segmen interlude pula digegarkan dengan persembahan hebat daripada tiga kumpulan band Malaysia terdiri dari Blues Gang, Kumpulan Exists dan Masdo manakala persembahan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik Datuk Ramli M.S.


AJL 37 yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV3 jam 9.00 malam bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan gandingan Sherry Alhadad dan Jihan Muse mengemudikan acara kemuncak sementara gandingan Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy sebagai hos di acara Karpet Merah Tonton manakala gandingan Nadia Hasnan dan Imran Aqil sebagai hos Backstage AJL 37 yang dapat disaksikan eksklusif menerusi penstriman langsung secara HD di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton. |MYBUZZ!

bottom of page