Malam yang dinanti-nantikan oleh peminat industri hiburan tanah air, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36), berlangsung dengan penuh gemilang di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam. Acara tahunan ini sekali lagi mengiktiraf bakat-bakat terbaik dalam industri hiburan Malaysia.
Penyanyi berbakat besar, Aina Abdul berjaya merangkul gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36). Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, menerima undian sebanyak 8,882,662 daripada peminat setianya.
Aina, yang kelihatan terharu dengan pengiktirafan tersebut, mengucapkan terima kasih kepada ibunya dan kelab peminatnya, Aination. “Terima kasih kepada ibu dan Aination atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Kemenangan ini adalah hasil usaha gigih anda semua yang mengundi saya,” katanya.
Aina mengakui perjalanan ke puncak tidak mudah dan mengucapkan syukur atas sokongan yang diterimanya. “Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan menang kerana perjalanan ini tidak mudah. Ini semua berkat sokongan 100% daripada peminat saya,” katanya.
Dengan gaya unik dan suara yang memukau, Aina Abdul terus memikat hati penonton dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri hiburan Malaysia. Kemenangan terbarunya di ABPBH36 adalah bukti bakat, kerja keras, dan sokongan padu daripada peminatnya.
Selain trofi berprestij, Aina turut membawa pulang jongkong emas seberat 18 gram dan sebuah SUV Toyota Harrier mewah yang ditaja oleh Conboo. Kemenangan ini menandakan satu lagi pencapaian dalam kerjaya cemerlang Aina, yang turut memenangi anugerah Penyanyi Wanita Popular untuk tahun kedua berturut-turut.
Selain Aina Abdul, pemenang lain yang turut mencuri tumpuan termasuklah Khairy Jamaluddin yang memenangi Penyampai Radio Popular, Fasha Sandha yang dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular serta Rita Rudaini yang memenangi Aktres Pembantu TV Popular.
Senarai Penuh Pemenang di ABPBH36:
Artis Baharu Lelaki Popular - Shah Rhady
Artis Baharu Wanita Popular - Erysha Emyra
Penyanyi Lelaki Popular - Khai Bahar
Penyanyi Wanita Popular - Aina Abdul
Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular - Dolla
Aktor Filem Popular - Aedy Ashraf
Aktres Filem Popular - Fasha Sandha
Aktor Pembantu Filem Popular - Alif Hadi
Aktres Pembantu Filem Popular - Raja Ema
Aktor TV Popular - Hun Haqeem
Aktres TV Popular - Anna Jobling
Aktor Pembantu TV Popular - Shah Iskandar
Aktres Pembantu TV Popular - Rita Rudaini
Penyampai Radio Popular - Khairy Jamaluddin
Pengacara TV Popular - Uyaina Arshad
Artis Komedi Popular - Senario
Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hebat daripada barisan artis popular tanah air. Dengan tema “Teguh”, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 (ABPBH36) dilihat berjaya menggabungkan elemen-elemen hiburan yang memukau dan penuh dengan kejutan.
Kumpulan DeFam membuka tirai malam itu dengan persembahan bertenaga, menyampaikan dua lagu iaitu “#Supergirls” dan single baharu mereka “Anak Raja”. Sementara itu kemunculan paduan suara penyanyi Ernie Zakri dan Marsha Milan menyampaikan medley "Hening Rindu" dan "Masing-Masing" menerima sorakan gemuruh dari penonton di auditorium untuk persembahan tersebut.
Selain DeFam, Ernie Zakri dan Marsha Milan, pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 (ABPBH36) turut dihangatkan dengan persembahan dari Zamani, Hazama, Shiha Zikir, Hael Husaini, Syamel, Haqiem Rusli, Usop dan Kumpulan Spider.
Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 (ABPBH36) di taja oleh Conboo dan dikendalikan oleh tiga pengacara berbakat Didie Alias, Riena Diana dan Hanif Hamzah. Gandingan ketiga-tiga pengacara ini berjaya mencipta suasana yang meriah dan penuh dengan gelak tawa sepanjang acara tersebut berlansung.
Comentarios