Alliance Bank Lancar Kad Kredit Maya Dalam Aplikasi Gaya Hidup Pertama di Malaysia
top of page
  • Writer's pictureMYB

Alliance Bank Lancar Kad Kredit Maya Dalam Aplikasi Gaya Hidup Pertama di Malaysia

Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) hari ini melancarkan kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank, kad kredit maya pertama di Malaysia untuk kegunaan individu yang ditawarkan melalui aplikasi gaya hidup pengguna.


Buat masa ini, kad kredit maya ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran JomPAY dan kod QR serta mengakses perkhidmatan pendahuluan tunai melalui aplikasi mudah alih MCash tanpa memerlukan kad kredit fizikal.


“Seiring dengan cadangan nilai “Bank Dalam Poket Anda”, kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank merupakan penawaran terkini dalam rangkaian inovasi digital kami untuk memberikan perkhidmatan yang pantas, mudah dan responsif, dan juga mesra ESG. Kami ingin pelanggan kami mempunyai akses kepada perkhidmatan pendahuluan tunai secara selamat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja menerusi telefon bimbit mereka,” kata Cik Gan Pai Li, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank.


“Tidak lama lagi kami akan meningkatkan ciri-ciri kad untuk membolehkan transaksi e-dagang, perkhidmatan penstriman dan langganan bagi memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan kami,” jelas Cik Gan.


Dari kiri ke kanan - Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank Cik Gan Pai Li, Pengerusi MRuncit Commerce Sdn Bhd Datuk Seri Dr. KK Chai dan Ketua Pegawai Eksekutif MCash eWallet Encik Aaron Lee pada pelancaran kad kredit maya Alliance Bank Visa Platinum, Kad kredit maya pertama Malaysia untuk individu yang ditawarkan melalui aplikasi gaya hidup pengguna.

Pelanggan boleh memohon kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank melalui aplikasi mudah alih MCash yang terdapat di Google Play dan Apple App Store. Sebagai sebahagian daripada proses permohonan, pelanggan dikehendaki memuat naik salinan digital dokumen sokongan seperti penyata KWSP atau slip gaji. Para pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui pemberitahuan secara automatik. Tambahan pula, para pelanggan yang menggunakan perkhidmatan pendahuluan tunai boleh menerima dana yang diminta melalui mana-mana akaun simpanan tempatan apabila permohonan mereka diluluskan.


“Kami teruja dengan MCash eWallet yang turut berkongsi visi ‘Bank Dalam Poket Anda’ dan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami dalam menyediakan pengalaman bayaran secara digital yang lancar kepada para pelanggan kami,” tambah Cik Gan.


“Kerjasama teknologi kewangan ini memperkasakan MCash sebagai Pengendali Dompet Digital mesra alam yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan kad kredit maya kepada para pelanggan daripada Gen-Z. Selain daripada melindungi seramai 500,000 orang pengguna dan 20,000 peniaga kami yang sedia ada, kelancaran dalam mengakses kemudahan kredit digital akan turut menggalakkan 1,500 usahawan mikro MCash kami yang sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka menerusi penggunaan perkhidmatan yang mesra ESG ini,” kata En. Aaron Lee, Ketua Pegawai Eksekutif MCash eWallet.


En. Ng Kong Boon, Pengurus Negara, Visa Malaysia, berkata: “Kami mengucapkan tahniah kepada Alliance Bank kerana menjadi antara peneraju dalam pasaran kad kredit maya di Malaysia. Sebagai peneraju global dalam pembayaran digital, Visa berusaha untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan pembayaran pengguna yang sentiasa berubah serta pilihan dan tingkah laku mereka yang kerap bertukar. Apabila ia datang kepada kad maya, hampir tujuh daripada sepuluh orang pengguna (69%) Malaysia berminat untuk menggunakan kad maya dalam pembelian dan transaksi kewangan harian mereka. Kerjasama kami dengan Alliance Bank merupakan satu lagi langkah penting dalam mendigitalkan landskap pembayaran dan menyediakan penyelesaian pembayaran yang pantas, mudah, selamat dan inovatif untuk para pelanggan kami di Malaysia.”


Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kad kredit maya Visa Platinum Alliance Bank atau produk dan perkhidmatan Bank, sila layari https://www.alliancebank.com.my/cards/personal/credit-cards/virtual-platinum-credit-card.aspx


bottom of page