ARTEH Dinobat Juara Program 'Mencari Sepahtu Yang Hilang'
top of page
  • Writer's pictureMYB

ARTEH Dinobat Juara Program 'Mencari Sepahtu Yang Hilang'

Pentas akhir “Mencari Sepahtu Yang Hilang” yang dihoskan oleh pelakon wanita sensasi, Ramona Zam Zam bersama Jiggy (Masin) menyaksikan lima peserta finalis, kumpulan JONED, ARTEH, SAN, TAKAL dan GAHAI mempersembahkan dua sketsa dengan tema Bebas dan Muzikal.


Mereka telah diadili oleh ketiga-tiga Juri Tetap; Jep, Rahim dan Pak Ya bersama dengan dua Juri Jemputan, pelakon popular, Datin Lisa Surihani dan Shuib.

Mencari Sepahtu Yang Hilang
Sepahtu Yang Hilang Dijumpai! Kumpulan duo adik beradik, ARTEH yang dianggotai oleh Hafizul dan Hazwan dinobatkan sebagai Juara “Mencari Sepahtu Yang Hilang 2021” dan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM30,000 beserta trofi!

ARTEH berada di kedudukan selesa apabila meraih peratus keseluruhan sebanyak 84.80 peratus, diikuti pula dengan Naib Juara, kumpulan GAHAI dengan 68.30 peratus. GAHAI yang dianggotai Iskandar, Fuad dan Hamizan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000 beserta trofi.


Manakala kumpulan SAN yang dianggotai oleh Saiful, Haziq dan Khary berada di kedudukan ketiga dengan peratusan keseluruhan sebanyak 65.30 peratus. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM9,000 dan trofi.


Dalam pada itu, TAKAL yang dianggotai oleh Helmy, Iftiqar dan Iskandar reda berada di kedudukan keempat dengan markah keseluruhan sebanyak 63.80 peratus (memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 beserta trofi) dan kumpulan JONED (Syazwan dan Ekhwan) berada di tempat kelima dengan markah keseluruhan sebanyak 58.00 peratus. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan trofi.


Terdahulu, program “Mencari Sepahtu Yang Hilang 2021” telah berlangsung selama 8 minggu menampilkan 12 peserta yang terdiri daripada kumpulan, duo dan peserta solo. Ia ditayangkan pada setiap hari Khamis bermula 2 Disember 2021 yang lalu bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 107).

Program ini turut menyaksikan penglibatan pelakon dan pelawak popular tanah air, saudara Ebby Yus dan penggiat teater, pelawak / pelakon senior, Datin Marlia Musa sebagai ‘Mentor’ kepada kesemua barisan peserta.


Hampir 1,000 penyertaan solo dan berkumpulan telah diterima menerusi platform rasmi, Astro Gempak yang mana penyertaan tersebut kemudian disaring dan diadili oleh kumpulan SEPAHTU sendiri bersama barisan produksi. Dari jumlah tersebut, 30 kumpulan telah disenarai pendek dan dijemput untuk menghadiri sesi ujibakat secara fizikal di Kuala Lumpur dan 12 peserta dipilih untuk beraksi di pentas utama musim ini.

bottom of page