Penganjur Konsert RadjaWali Bakal Heret Pengurusan ILA Ke Mahkamah, Tawar Konsert Ganti Mei Ini
- MYB
- 19 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Susulan insiden kontroversi sistem bunyi yang dimatikan secara mengejut ketika Konsert Pentas RadjaWali minggu lalu, pihak penganjur kini sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi konsert, Idea Live Arena (ILA), Petaling Jaya.

Pengumuman berhubung perkara itu diadakan pada petang semalam bertempat di Saloma Bistro, Kuala Lumpur. Tindakan drastik tersebut diambil oleh gabungan penganjur iaitu Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events, dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) demi membersihkan reputasi mereka yang tercalar teruk akibat insiden tersebut.
Kejadian pada 10 Januari lalu menyaksikan sistem bunyi konsert tersebut ditutup secara tiba-tiba sewaktu kumpulan popular Indonesia, Wali Band, sedang rancak mendendangkan lagu ke-10 mereka, "Ada Gajah Di Balik Batu". Situasi tersebut mencetuskan kemarahan penonton yang menyalahkan penganjur tanpa mengetahui punca sebenar.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar menjelaskan bahawa selain isu menghormati waktu solat Isyak yang diperkatakan, punca utama kekalutan malam tersebut adalah kegagalan teknikal pihak pengurusan lokasi konsert tersebut.
"Kami mengakui berlaku sedikit kelewatan, namun ia berpunca daripada masalah teknikal di luar kawalan kami. Liputan internet yang sangat lemah di lokasi dewan menyukarkan penonton memaparkan kod QR tiket, menyebabkan proses imbasan menjadi perlahan dan pintu masuk sesak," jelas Mubarak.
Mubarak menambah bahawa situasi tersebut berisiko mencetuskan huru-hara dan mengancam keselamatan awam, namun beliau bersyukur kerana penonton di Malaysia masih mampu mengawal emosi.
Pihak penganjur kini sedang berbincang dengan panel peguam untuk memfailkan saman atas faktor kecuaian dan pelanggaran persetujuan oleh pengurusan ILA. Mereka sedang memuktamadkan jumlah kerugian material dan kerosakan reputasi sebelum memulakan prosiding mahkamah.
Sebagai tanda permohonan maaf dan penghargaan kepada peminat yang teraniaya, penganjur mengumumkan berita gembira untuk membawa semula kumpulan Wali Band dan Radja ke Malaysia bagi sebuah konsert khas.
Konsert "tebus kekecewaan" ini dirancang bakal berlangsung pada 1 Mei depan. Lebih menarik, penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa dengan hanya menunjukkan bukti pembelian tiket yang lepas.
"Kami berjanji akan menuntut keadilan demi memulihkan maruah serta hak para peminat," tegas Mubarak menutup bicara









Komen