• MYB

Astro Siar Drama Indonesia Adaptasi 'Gossip Girl'

Drama siri popular Amerika Syarikat terbitan Warner Bros, Gossip Girl yang memaparkan kisah remaja dari keluarga sosialit di Manhattan telah diadaptasi dalam versi Indonesia dengan menggunakan tajuk ‘Gossip Girl Indonesia’, dan kini temui penonton Malaysia buat pertama kali menerusi platform Astro.


Drama bersiri 9 episod tersebut telah pun memulakan tayangannya pada 7 Februari lalu dan boleh ditonton di On Demand atau Astro GO serta Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin, jam 9 malam.


Versi asal drama siri ini telah mendominasi 17 kemenangan sepanjang 4 tahun berturut-turut di Teen Choice Awards. Siri tersebut bukan sahaja berjaya mencipta fenomena dan menjadi ikutan trend dalam kalangan peminatnya, malah ia turut diadaptasi ke versi negara berbeza seperti di Turki (‘Kucuk Sirlar atau Little Secrets’, 2012), Tiongkok (‘China Girl’, 2012), Meksiko (‘Gossip Girl: Acapulco’, 2013), dan Thailand (‘Gossip Girl: Thailand’, 2015).


Menariknya, versi Indonesia ini turut diselitkan dengan nilai dan budaya Nusantara, di samping dipadatkan lagi dengan elemen-elemen yang relevan untuk tontonan masa kini seperti gaya fesyen serta teknologi, yang mana versi Hollywood memaparkan penggunaan blog tetapi versi ini menggantikannya dengan platform Instagram.

Gossip Girl Indonesia melibatkan gabungan bakat-bakat kreatif yang sering memberi sentuhan luar biasa pada karya-karya hebat. Menariknya, setiap 3 episod Gossip Girl Indonesia diarahkan oleh sutradara dan penulis berbeza.


Antaranya pengarah filem ‘Berbagi Suami’ dan ‘Arisan!’, iaitu Nia Dinata yang bertindak sebagai showrunner, sutradara (episod 1, 2 dan 3) serta terlibat dalam penulisan skrip untuk semua episod. Lucky Kuswandi juga merupakan penulis skrip untuk episod 1, 2 dan 3. Bagi episod 4, 5 dan 6 adalah di bawah arahan Pritagita Arianegara dan skrip oleh Melissa Karim dan Nia Dinata. Manakala episod 7, 8 dan 9 oleh pengarah Andri Cung dan skrip oleh Andri Cung sendiri bersama Nia Dinata.

Tidak lengkap Gossip Girl tanpa suara latar, jadi bagi versi ini pelakon dan penyanyi Ayushita Nugraha mengisi peranan ‘voice over’ dalam Gossip Girl Indonesia. Sementara itu, watak-watak utama dibintangi oleh pelakon muda berbakat besar, seperti Amanda Rawles (yang sebelumnya membintangi filem Jailangkung) sebagai Serena Darsono, Baskara Mahendra (pelakon filem The Way I Love You) sebagai Denny Hakim, Jihane Almira (Ayat-Ayat Cinta 2) sebagai Blair Hadiningrat, Tatyana Akman (Ini Kisah Tiga Dara) sebagai Vanessa, Arya Vasco (Death Whisper) sebagai Nathaniel Siregar, Jerome Kurnia (Photocopier) sebagai Chicco Salim, Rayssa Dynta sebagai Jenny Hakim.

Berbeza dengan siri asal yang menormalkan isu percubaan gangguan seksual menerusi watak Chuck Bass terhadap watak Serena dan Jenny, tetapi versi adaptasi ini memberi fokus lebih mendalam tentang mental isu serta kesan kepada mangsa gangguan seksual.


Selain itu, babak Sambutan Hari Kesyukuran atau 'Thanksgiving' di versi asal, telah digantikan dengan acara berbuka puasa. Secara keseluruhan jalan cerita dan emosi cukup relevan dengan kehidupan sehari-hari.


SINOPSIS

Gossip Girl Indonesia mengisahkan tentang remaja dari keluarga golongan sosialit, Serena Darsono yang bersahabat baik dengan Denny Hakim, Jenny Hakim, Blair Hadiningrat, Vanessa, Nathaniel Siregar, dan Chicco Salim. Serena merupakan gadis popular di sekolahnya dan telah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sejak itu, sahabat baik Serena iaitu Blair telah mengambil tempat Serena. Apabila Serena kembali, kedua-dua mereka dilihat baik, namun hakikatnya tidak dan tercetus persengketaan. Dalam pada itu, gerak-geri mereka telah diawasi oleh akaun Instagram terkenal @GossipGirl.Indo.


0 comments