top of page
Writer's pictureMYB

ASTRO Tampilkan Pelbagai Program Menarik Di Sepanjang Ramadan

Mengangkat tema ‘Bukalah Hati’, syarikat penyiar dan penstriman utama negara, Astro menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan pelbagai sajian hiburan yang merangkumi variasi genre termasuk Islamik, ilmiah serta pengisian kandungan hiburan yang bakal memenuhi keperluan para pelanggan Astro dalam menunaikan ibadah puasa bersama keluarga dan sahabat handai.



Tema kali ini mengangkat elemen kerohanian yang menyeru umat Islam untuk kekal tabah tatkala menghadapi dugaan dan cabaran dengan membuka hati dalam mencari erti keredaan ketika menjalani ibadah puasa. Dengan keterbukaan hati, nescaya apa jua dugaan mendatang akan menemui penyelesaian yang pasti. Kempen kali ini turut melantik pelakon berbakat hebat serta berkaliber, Nadhir Nasar sebagai duta kempen korporat Ramadan Raya Astro buat kali kedua. Pelakon yang kian mengukir namanya di persada lakonan tempatan, Qasrina Karim pula dipilih sebagai duta kempen ini buat julung kalinya.


Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Bukalah hati, InsyaAllah keindahan pasti menanti. Begitulah tema kempen Ramadan Astro kali ini. Bulan yang dinanti- nantikan oleh umat Islam kini tiba, dan ramai di antara kita ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT meniti hari-hari mulia ini, sudah pastinya banyak dugaan serta cabaran mendatang. Oleh itu, keterbukaan hati merupakan aspek yang penting untuk kita menerima serta mengharungi dugaan-dugaan menanti.


"Masa bersama keluarga turut menjadi nadi utama kita tatkala menunaikan ibadah pada bulan Ramadan. Oleh itu, Astro bakal menyajikan pelbagai rancangan Islamik yang dinamik dan pastinya akan membawa pelbagai manfaat kepada semua. Tidak kiralah yang tua ataupun muda, pastinya seisi keluarga akan terhibur sambil mendalami erti bulan yang mulia ini." tambah beliau.


Seperti tahun lalu Astro bakal menyajikan pelbagai program menarik di sepanjang Ramadan ini menerusi platform televisyen, digital, Astro First dan radionya.

 
Platfom Televisyen
  • Sajian Rancangan Islamik Yang Dinamik

Astro bakal menyajikan sajian berilmiah yang pasti akan membawa intipati yang memenuhi keperluan kerohanian dan keimanan menerusi saluran Astro Oasis. Antaranya Bidadari Syurga, sebuah rancangan bual bicara yang dihoskan oleh Lisa Surihani dan Ustaz Jafri Abu Bakar, memaparkan pengalaman sebenar yang pernah dilalui wanita-wanita hebat yang dijanjikan syurga. Saksikan jua Rockstar Ke Masjid Musim 2 yang akan berkongsi hidup and penghijrahan nama-nama besar muzik rock. Mereka juga akan 'busking' untuk mengumpulkan dana buat masjid tempatan mereka. Antara artis yang terlibat adalah Ezad Lazim, Zul Handy Black, Jayjay, Mel Wings, Asheed Def Gab C dan Zamani Slam. Manakala dokumentari Jejak Adam 2023, hos Zainal Ariffin Ismail berkelana dalam mencari tanda-tanda kehadiran Nabi Adam A.S di bumi Arab Saudi dan seterusnya, kedatangan agama Islam di bumi Melayu. Topik-topik yang bakal ditayangkan akan memberi inspirasi dan suntikan kesedaran kepada penonton dalam mencari barakah dalam kehidupan. Tahu Ke Tidok: Celik Agama pula merupakan program ‘game show’ yang menguji selebriti dan pelawak seperti Fikry Ibrahim, Saiful Apek, Sharif Zero, Eida Moin dan ramai lagi dalam pengetahuan asas agama mereka yang meliputi mata pelajaran PAFA (Perkara Asa Fardhu Ain).



Saluran Astro Ceria pula akan menyajikan Salam Famili yang berkisarkan seorang Muallaf belajar menghadapi Ramadan pertamanya di Malaysia dan terjatuh cinta dengan seorang ibu tunggal. Untuk mengahwini cintanya, dia mestilah mendapat restu ayah kepada ibu tunggal tersebut dengan menunjukkan dirinya boleh menjadi imam yang baik. Dibintangi Nadiya Nisaa, Aiman Wynne, Amar Bahrin dan Sabri Yunus.


  • Sajian Drama Hebat Berganda-Ganda

Istimewa buat peminat drama melayu, Astro mempersembahkan barisan drama baharu menerusi saluran Ria. Antaranya Andai Itu Takdirnya yang membawa sisipan drama kehidupan dua insan yang menjalani bahtera perkahwinan yang regang dan duka berpanjangan. Adaptasi karya terbaik Siti Rosmizah, drama rantaian ini dibintangi Shukri Yahaya dan Hannah Delisha.


Slot drama diteruskan dengan Imam Instant Ustazah Scammer, memaparkan kisah Ashraf yang mencuri tumpuan setelah bacaan Quran olehnya menjadi viral di media sosial. Malah dia turut digelar sebagai Imam Ashraf yang membuatnya tidak selesa dengan perhatian yang diberikan. Drama khas sempena Ramadan ini dibintangi Hun Haqeem, Mira Filzah dan Qasrina Karim. Astro Originals sekali lagi membawa drama rantaian yang bakal mencabar minda penonton dengan Liar. Drama ini mengisahkan Lara yang menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran untuk membuktikan bahawa dia telah diperkosa oleh seorang pakar bedah terkemuka. Drama thriller ini dibintangi Tiz Zaqyah dan Tony Eusoff. Menerusi slot Gempak Originals, drama komedi Gadis eXXtra mengisahkan kehidupan tiga gadis; Nina, Irwinda dan Sahira yang baru memperoleh ijazah tetapi terpaksa berdepan pelbagai halangan sebelum berjaya. Drama ini dilakonkan oleh Norreen Iman, Rita Nadira dan Alyshia Abegail.

  • Sajian Rancangan Hiburan, Komedi, Gaya Hidup Dan Animasi Yang Membawa Pengisian Bermakna

Sajian program-program bergenre hiburan, komedi, gaya hidup dan animasi kekal berjalan namun membawa pengisian yang mendalam dan bermakna. Menerusi saluran Astro Ria, ‘game show’ dan format paling popular antarabangsa kini di Malaysia. Family Feud Malaysia bakal menemui penonton seisi keluarga pada Ramadan ini bersama hos Nabil Ahmad.


Selain itu, petang anda bakal dimeriahkan dengan program hiburan masakan Dapur Vaganza yang menampilkan Tok Ram dan Lina Pom Pom berperang di dapur bersama barisan peserta Gegar Vaganza. Rasa Nostalgia Kampung Style pula menyajikan program masakan yang membawa penonton balik ke kampung selebriti tanah air bersama lima hos berbeza setiap minggu; Chef Wan, Chef Ismail, Chef Adu, Jaafar Onn dan Rozita Che Wan.


Saluran Astro Warna pula bakal menyerikan malam-malam Ramadan para penonton dengan Sepahtu Al Puasa 2023 yang kembali menggeletek malam Jumaat anda dengan sketsa spontan dan santai yang memberikan seribu satu mesej positif dalam lawak jenaka mereka. Nantikan Travelawak: Projek Bapak Bapak yang merupakan program komedi realiti yang memaparkan gelagat dan telatah empat selebriti veteran tanah air iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Jalaluddin Hassan, Jatt Black Dog Bone serta Roy Azman yang mengembara ke Jepun dan menyahut cabaran-cabaran yang mencuit hati dan ‘luar biasa’ serta cuba membuktikan bahawa ‘Otai’ can have fun too.



Tidak ketinggalan, khas untuk penonton cilik, siri animasi paling popular yang kaya dengan mesej positif, Upin Ipin Musim terbaharu (Musim 16) bakal menemui anda menerusi slot Lepak @Les Copaque di saluran Astro Prima. Manakala, saluran Astro Ceria pula membawakan rancangan masakan Si Manis Bulan Ramadan, memaparkan anak-anak kepada para selebriti seperti Datuk Aaron Aziz, Nabil Ahmad dan Nadiya Nisaa yang memasak untuk ibu bapa mereka.


Platform Digital

Penghayatan kandungan Islamik berterusan menerusi platform Digital Astro. My Mosque merupakan sebuah rancangan bual bicara bersama Hazeman Huzir memaparkan selebriti ataupun personaliti terkenal berkongsi mengenai masjid kegemaran mereka serta kisah-kisah menarik di sebalik masjid tersebut. Antara tetamu undangan rancangan ini termasuk influencer dan content creator Maryam, Cik Ton dan juga Mizz Nina. Manakala Sayang Ajar Masak Ramadan memaparkan para selebriti termasuk Zizan Nin dan Hawa Rizwana memasak resipi kesayangan keluarga. Selain itu, Gempak juga bekerjasama bersama Tiktokers Amin Emo dalam HambaRamadan, bersaing dengan anaknya berbalas jenaka-jenaka ‘dadjokes’nya.


Astro First

Astro First kali ini menyajikan filem-filem hebat tempatan serta serantau sempena bulan Ramadan ini. Antaranya filem animasi Mechamato yang mengisahkan Amato menemui kapal angkasa penjara mengandungi robot jahat yang terhempas ke bumi. Salah satunya MechaBot, berupaya untuk mekanisasi objek harian menjadi peranti berteknologi tinggi. Amato berjaya mengakali MechaBot dan sejak itu mereka bekerjasama untuk mencari dan menangkap robot jahat itu. Manakala filem aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang turut menyerikan Ramadan ini dengan barisan pelakon hebat seperti Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana, Sabri Yunus dan Saharul Ridzwan. Filem ini berkisarkan Hafiz, seorang Pegawai Pengawal Pantai Malaysia, sedang meraikan pertunangannya di sebuah resort pantai. Namun sekumpulan pengganas merampas hotel dan menculik tunang serta keluarganya. Dia berjaya melarikan diri dan segera mengatur misi mencari dan menyelamat untuk mendapatkan semua orang kembali dengan selamat.


Platform Radio

Pengisian berilmiah turut ke udara menerusi stesen-stesen radio Astro. Di ERA, Iftar ERA ingin membuka pintu kediaman Pak Azad kepada lima pendengar ERA yang bertuah untuk menghadiri majlis iftar. Majlis ini turut disantuni pelajar-pelajar tahfiz serta anak-anak yatim. PA-RAM DUO dari SINAR akan membuat cabaran untuk ramadan kali ini. Mereka akan membantu perniaga yang berniaga di baazar ramadan sebagai pekerja untuk mempromosikan dan menaikkan perniagaan mereka. GEGAR membawakan Ahlan Wasahlan Ramadan GEGAR yang akan mengagihkan set Sejadah Eksklusif GEGAR berserta Kurma pada minggu akhir sebelum Ramadan hingga ke minggu kedua Ramadan. Pengagihan ini akan dibantu oleh KRU GEGAR di sekitar Masjid dan bazaar ramadan terpilih. ZAYAN bakal menyiarkan kapsul harian istimewa Ramadan, ZAYAN Kapsul Iftar sambil menunggu waktu berbuka puasa bersama PU Amin dan Sheikh Zainul Asri.

0 comments

Comentarios


bottom of page