Bakat Baharu, Laluan ke Layar Perak! SocialCeleb Buka Peluang Emas Industri Hiburan Digital Malaysia
- MYB
- 26 Ogo
- 2 min membaca
Updated: 30 Ogo
KUALA LUMPUR — Dunia hiburan tanah air bakal menyaksikan revolusi baharu apabila Lifetelco memperkenalkan SocialCeleb, platform pencarian bakat digital pertama di Malaysia yang bakal dilancarkan secara rasmi kepada umum pada 9 September 2025.

SocialCeleb bukan sekadar platform digital biasa. Ia merupakan gabungan teknologi dan hiburan yang membuka peluang kepada bakat baharu dari seluruh pelusuk negara untuk berhubung secara langsung dengan nama-nama besar industri seperti Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda, dan Dato’ Aaron Aziz selaku Star Mentors. Turut menyertai barisan Star Celebs ialah Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi, dan Hubert Lee.
Majlis pelancaran yang berlangsung meriah di PJPAC, 1 Utama petang tadi turut memperkenalkan tawaran eksklusif kepada peserta. Dengan hanya RM110, mereka akan menerima Kad SIM Lifetelco dengan 110GB data, insurans kemalangan diri bernilai RM50,000, akses kepada OTT drama dan filem, serta peluang menyertai uji bakat eksklusif.
Menurut Saraleana Nattaya Azmi, Pengarah Rangkaian Lifetelco, SocialCeleb adalah inisiatif pemerkasaan sosial yang bertujuan membuka pintu kepada semua individu tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
“Kami mahu pastikan tiada halangan kewangan atau geografi dalam mengejar impian. SocialCeleb adalah laluan masa depan untuk bakat tempatan,” katanya.

Platform ini turut menawarkan bengkel eksklusif, persembahan langsung, dan bimbingan mentor yang akan membantu peserta melalui proses uji bakat untuk filem, drama bersiri dan projek OTT akan datang.
Dato’ Aaron Aziz menyifatkan SocialCeleb sebagai peluang untuk memberi semula kepada industri yang telah membesarkan mereka.
“Kami bukan sekadar mengadili, tetapi membimbing dan membuka pintu kepada generasi baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Afdlin Shauki menekankan bahawa SocialCeleb adalah platform serius yang memberi peluang membina kerjaya mampan dalam industri hiburan.
“Saya teruja menjadi sebahagian daripada sistem yang bukan hanya mengejar populariti, tetapi membina masa depan,” katanya.
Platform SocialCeleb bukan hanya tentang pencarian bakat, tetapi juga tentang pembinaan kerjaya. Ia menjadi jambatan kepada para peserta untuk melangkah dari skrin telefon terus ke layar perak. Pendaftaran untuk menyertai SocialCeleb akan dibuka bermula 9 September 2025 menerusi laman web rasmi www.social-celeb.com.









Komen