Misi Takluk Belanda: Amir Masdi & SPWinds Bergabung Dalam Konsert 'Winds of Glory'
- MYB
- 1 jam lalu
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Penyanyi bervokal lantang, Amir Masdi, bakal mengukir sejarah tersendiri apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan orkestra sekolah ternama, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.

Kolaborasi ini bakal diterjemahkan menerusi sebuah konsert sulung berjudul "Winds of Glory" yang akan berlansung pada 25 April 2026 di Plenary Hall, PICC Putrajaya yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi misi membawa nama Malaysia ke pentas dunia.
SPWinds, yang sebelum ini telah membuktikan kecemerlangan dengan meraih Anugerah Emas di World Orchestra Festival ke-11 di Vienna pada tahun 2025, kini sedang giat melakukan persiapan untuk menyertai pertandingan berprestij World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda pada Julai depan.
Bagi Amir Masdi, peluang beraksi bersama barisan pemuzik muda berbakat ini adalah satu penghormatan besar.
"Saya berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulung saya bersama SPWinds. Dedikasi dan disiplin para pemuzik mudanya amat menginspirasikan, dan saya berharap dapat menyokong perjalanan mereka melalui muzik secara bermakna," ujar Amir.

Kerjasama ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah dilihat sebagai usaha memperkasa pembangunan bakat pelajar dengan memberikan pendedahan kepada dunia muzik profesional.
Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB), Shah Rizal Jazib, menyifatkan kolaborasi ini sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh visi artistik orkestra tersebut sebelum melangkah ke platform antarabangsa.
Segala hasil kutipan tiket konsert ini akan disalurkan sepenuhnya ke tabung SPWinds bagi menampung kos perjalanan dan pertandingan mereka di Belanda. Pihak penganjur juga mengalu-alukan sumbangan dan tajaan daripada syarikat korporat serta individu prihatin.
Tiket konsert "Winds of Glory" akan mula dijual pada 30 Januari 2026, jam 3.00 petang menerusi laman web TICKETEMPIRE. Harga tiket ditawarkan bermula dari RM178 hingga RM378.











Komen