Teka-Teki Terjawab! Ella Bakal Beraksi Bersama 'The Boys', Amir Masdi, Tam Spider & Bunkface di SNBJ
- MYB
- 2 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Ratu Rock Negara, Ella, akhirnya meleraikan tanda tanya peminat apabila mengumumkan barisan artis jemputan yang bakal memeriahkan konsert mega berskala stadium, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan.

Dalam satu majlis santai "Jamuan Tengah Hari Bersama Ella" yang diadakan di Sunway Pyramid hari ini, Ella mengesahkan bahawa pentas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 14 Februari 2026 nanti akan digegarkan dengan gabungan tenaga 'otai' dan bintang generasi baharu.
Antara nama besar yang bakal berkongsi pentas sejarah itu ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, dan Tam Spider. Lebih menyentuh perasaan, Ella turut mengumumkan kemunculan semula kumpulan asalnya, The Boys (Ella & The Boys), sebagai simbolik penyatuan semula dan penghormatan terhadap perjalanan seni beliau yang telah bertahan lebih tiga dekad.

Menyifatkan konsert ini sebagai persembahan solo terbesar sepanjang kariernya, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, kini sedang giat menjalani latihan intensif merangkumi aspek fizikal, vokal, dan mental.
"Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya. Anda bukan sekadar penonton, namun anda adalah sejarah itu sendiri!" ujar Ella yang turut menekankan bahawa konsert ini membawa misi kebajikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, En. Rohit Rampal mendedahkan bahawa produksi kali ini bukan 'biasa-biasa'. Pentas konsert direka khas dengan konsep "Separa Bulan" (Half Moon) sepanjang 35 meter yang melambangkan simbol penyatuan peminat Ella dari pelbagai generasi.
Peminat yang ingin memiliki kenangan abadi daripada konsert ini boleh mendapatkan barangan rasmi eksklusif seperti jersi, baju panas, dan topi yang telah mula dijual di laman web rasmi Hitman Live.










Komen