Bintang Pertemukan Kembali Ruhainies Bersama Daniel Fong
top of page
  • Writer's pictureMYB

Bintang Pertemukan Kembali Ruhainies Bersama Daniel Fong

Artis serba boleh, Daniel Fong pernah merekodkan lagu single yang berjudul Sing Me Home pada tahun 2018 dengan menampilkan Ruhainies sebagai model dalam muzik video tersebut.


Kini mereka berdua digandingkan dalam drama bersiri Bintang yang mengisahkan tentang cinta pertama antara dua remaja sekolah. Mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan akibat ada yang mencemburui hubungan mereka. Berjayakah mereka menggapai bahagia dalam hubungan mereka?



Drama bersiri 20 episod ini merupakan terbitan syarikat produksi Country & Universal Sdn Bhd yang bersiaran bermula pada 6 April 2023, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam menerusi slot Lestary dan strim eksklusif HD di www.tonton.com.my


Drama ini diarahkan oleh Nizam Zakaria dan penghasilan skrip oleh Haida Mazni Mohammad. Bintang menampilkan barisan pelakon yang hebat dan popular seperti Daniel Fong, Ruhainies, Siti Hariesa, Keith Foo, Haidar Hasanudin, Natasha Elyzza, Ain Evon, Nadia Kesuma, Azri Iskandar, Faa Zaini, Azhar Sulaiman dan Badrul Muhayat.




SINOPSIS


Iris (Ruhainies) merupakan anak kepada Pak Mahmud (Azri Iskandar) yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di kampung. Pak Mahmud seorang yang amat tegas dan menitikberatkan tentang pendidikan Iris dan status keluarga mereka sehingga menyebabkan Iris jarang bergaul dengan orang kampung. Sebaliknya, Iris ikhlas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira status.


Thirak (Daniel Fong) bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan Iris. Thirak duduk di kampung bersama ibunya, Duangphen (Ain Evon) yang ingin melihat Thirak sambung pengajiannya ke universiti. Thirak yang berketurunan Thailand, mempunyai ciri-ciri Melayu yang kuat kerana sifatnya yang sangat peramah dan pandai bergaul.


Pertemuan mereka secara beransur-ansur membibitkan perasaan cinta antara satu sama lain. Namun Mustafa (Keith Foo) juga mengejar cinta Iris. Perasaan hasad dengki timbul apabila Mustafa gagal meraih cinta Iris. Mustafa memasang niat buruk dengan memaklumkan ibu bapa Iris tentang hubungannya dengan Thirak.


Berikutan kejadian itu, Iris dihantar belajar ke luar negara dan hubungannya dengan Thirak terputus bertahun-tahun. Beberapa tahun kemudian, Iris pulang ke kampung semula apabila telah menamatkan pengajiannya di luar negara. Apakah kesudahan yang bakal berlaku pada hubungan mereka? Masih adakah sinar kedua bagi Iris dan Thirak setelah bertahun-tahun terputus hubungan?

 

Sementara itu, runut bunyi bagi drama ini, juga dengan judul yang sama dinyanyikan oleh penyanyi, komposer dan penulis lagu terkenal tanah air, Hael Husaini. Kemunculan Hael dengan lagu terbaharu yang telah disimpan selama 13 tahun ini berjaya mengubati kerinduan peminat tegarnya yang sering kali bertanya mengenai lagu sentuhan beliau.


Lagu ‘Bintang’ ini sangat istimewa kerana merupakan hasil kreatif Hael sendiri sebagai penulis lirik dan juga komposer selain merupakan lagu pertama Hael Husaini bekerjasama dengan TV3 dan Alternate Records Sdn Bhd.


Bintang merupakan salah satu karya terbaik daripada Hael dan inilah peluang yang dilihat sesuai untuk mengetengahkan melodi serta lirik lagu ini yang menyentuh hati setelah lebih sedekad menyimpannya. Lebih menarik, Lagu Bintang ini dipilih sebagai runut bunyi drama Bintang kerana ia mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan drama Bintang sendiri.


”Saya berharap lagu Bintang ini memberi makna yang istimewa kepada semua pendengar dan dapat menilai apa erti bintang kepada insan yang istimewa seperti orang yang kita sayangi. Bintang juga menggambarkan sepasang kekasih yang sentiasa ada bersama namun diuji dengan perpisahan antara dua dunia yang berbeza. Saya berterima kasih kepada semua pendengar yang sentiasa menyokong saya kerana tanpa mereka saya tidak mungkin berada dalam industri seni tanah air sehingga kini,” jelas Hael.


Sejak Bintang dilancar dan diperdengarkan kepada para pendengar di semua platform digital bermula 4 April 2023 lalu, rata-rata peminat Hael Husaini sangat teruja dengan lagu yang dikatakan sebagai ‘award winning material’ dan dibanjiri dengan komen-komen positif lain.


Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.


bottom of page