6 Minggu Simpan Rahsia, Erra Fazira Dirisik ‘Mr. E’ & Bakal Bernikah 12 Disember Ini!
- MYB
- 2 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai status hati primadona negara, Erra Fazira akhirnya terjawab apabila beliau secara rasmi mengumumkan bakal menamatkan zaman jandanya bersama pilihan hati, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E, pada 12 Disember ini.

Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Erra, 51, dalam satu pertemuan penuh emosi bersama media sewaktu pelancaran video muzik terbaharunya, Cinta Abadi 2025, sebentar tadi. Sambil menitiskan air mata kesyukuran, pelakon jelita itu mendedahkan bahawa beliau sebenarnya telah pun dirisik oleh usahawan tersebut sekitar enam minggu yang lalu.
Menurut Erra, majlis merisik tersebut diadakan secara sederhana melibatkan pertemuan antara kedua-dua belah keluarga, di mana beliau menerima sebentuk cincin emas sebagai tanda ikatan.
"Keluarga kami bertemu dalam sebuah majlis sederhana dan saya menerima cincin sebagai tanda dirisik," jelas Erra.

Mengulas lanjut mengenai detik penyatuan dua hati ini, Erra memberitahu bahawa kesepakatan untuk mendirikan rumah tangga telah dicapai oleh mereka berdua sejak Jun lalu. Keputusan untuk melangkah ke jenjang pelamin ini turut mendapat 'lampu hijau' dan restu penuh daripada puteri kesayangannya, Engku Aleesya.
Malah, keharmonian hubungan keluarga baharu ini terserlah apabila anak kepada Mr. E daripada perkahwinan terdahulu, Sofea, turut merestui penyatuan bapa dan bakal ibu tirinya itu.
"Kedua-dua anakanda kami, Sofea dan Aleesya merestui keputusan kami untuk berkahwin," ujar Erra lagi.
Aleesya merupakan cahaya mata hasil perkahwinan kedua Erra bersama bekas suami, Engku Emran.
Pengumuman ini pastinya menjadi penutup tirai tahun 2025 yang paling manis buat Erra Fazira dan para peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaannya.





