32 Tahun Berlalu, Erra Fazira Kembali ‘Bunga’kan Nostalgia Menerusi Nafas Baharu ‘Cinta Abadi 2025’
- MYB
- 22 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad melakar nama di persada seni tanah air, primadona filem dan nyanyian negara, Erra Fazira, kembali menggamit memori peminat dengan merakamkan semula lagu hits ikoniknya, 'Cinta Abadi'.

Karya agung ciptaan Razman dengan lirik puitis sentuhan Habshah Hassan yang pernah diterbitkan pada tahun 1993 ini kini diberi nafas baharu menerusi versi 2025 sebagai simbolik meraikan satu detik istimewa dalam hidup bintang tersebut.
Menurut Erra, lagu ini mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi kerana ia merupakan titik permulaan yang melonjakkan jenamanya sebagai seorang penyanyi yang disegani. Mengimbau kembali kenangan 32 tahun lalu, Erra mengakui detik rakaman asal lagu tersebut masih segar dalam ingatannya.
"32 tahun usia lagu ini. Siapa sangka, ia sudah berlalu lebih tiga dekad namun setiap saat dan momen ketika merakamkan lagu ini masih saya ingat dengan terperinci. Rasa seram sejuk ketika pertama kali ke studio rakaman di Singapura masa itu. Saya masih berusia 19 tahun dan sangat gugup," jelas Erra berkongsi nostalgia.

Berbeza dengan versi asal, 'Cinta Abadi 2025' tampil dengan suntikan muzik yang lebih moden dan segar. Lebih istimewa, Erra turut menghadiahkan peminat dengan 'Versi Piano' yang menjanjikan sentuhan emosi yang lebih mendalam dan berbeza.
Idea untuk penghasilan semula lagu ini dicetuskan oleh pihak pengurusan Erra, MindOrder Sdn Bhd, yang melihatnya sebagai satu buah tangan eksklusif buat peminat yang telah lama menantikan karya terbaharu daripada beliau. Erra menyambut baik idea tersebut tanpa berfikir panjang demi mengubati kerinduan peminat terhadap lunak suaranya.
Bagi melengkapkan peluncuran lagu ini, sebuah video muzik indah telah dihasilkan dengan latar belakang pemandangan pantai waktu senja yang memukau di Hotel Royal Chulan Cherating Villa & Chalet.
Video muzik yang mendapat tajaan Pos Malaysia ini menyuntik elemen visual yang cukup romantis, selari dengan bait-bait lirik lagu berkenaan. Menambah seri kepada jalan cerita video muzik tersebut, Erra turut menampilkan penyanyi bervokal mantap, Naqiu, sebagai pasangannya dalam visual berkenaan.
"Saya seronok dan yakin peminat akan menghargai apa yang cuba saya sampaikan," ujar Erra mengenai gandingannya bersama Naqiu.
Peminat kini boleh menghayati 'Cinta Abadi 2025' dan versi pianonya di semua platform digital bermula 28 November 2025.





