Borneo Fashion Week 2025: Fesyen Berjiwa, Warisan Bernyawa!
- MYB
- 25 Sep
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR - Borneo Fashion Week (BFW) 2025 bakal tampil dengan nafas segar yang menggabungkan gaya, nilai dan warisan dalam satu pentas berprestij. Bertemakan “Fashion With Purpose”, acara ini bukan sekadar pertunjukan fesyen, tetapi satu gerakan budaya dan kelestarian yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2025 di lokasi baharunya yang eksklusif di Pavilion Damansara Heights.

Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, figura yang tidak asing dalam dunia kecantikan dan fesyen Malaysia, BFW 2025 membawa misi yang lebih besar daripada sekadar memperagakan busana. Ia adalah tentang menyampaikan cerita, memelihara identiti, dan mencipta ruang untuk pereka tempatan bersinar di pentas global.
“Fesyen bukan hanya tentang apa yang kita pakai, tetapi siapa kita dan dari mana kita datang,” ujar Stephanie, yang juga merupakan pemenang Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24 dan finalis Dewi Remaja 1989. “BFW adalah platform untuk menyatukan warisan Borneo dengan inovasi moden, sambil memperjuangkan kelestarian.”

Edisi kali ini menampilkan barisan pereka dari Malaysia, Vietnam, Singapura dan Brunei, termasuk nama-nama seperti Angelique, Calvin Tho, Hayden Ng dan Bilang. Setiap pereka diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berunsur lestari yang merupakan satu langkah berani yang menandakan komitmen BFW terhadap alam sekitar dan masa depan industri fesyen.
Lebih menarik, BFW 2025 turut membuka ruang kepada pereka muda dan baharu untuk berkongsi pentas dengan nama-nama besar. Mereka diberikan akses kepada liputan media, peluang jaringan industri dan pentas bertaraf dunia yang juga merupakan satu peluang emas yang jarang ditawarkan dalam acara fesyen berskala besar.
Dengan sokongan jenama seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights, BFW 2025 menjanjikan pengalaman gaya hidup menyeluruh yang menggabungkan fesyen, kesihatan, inovasi dan budaya.
Lebih daripada sekadar pertunjukan, BFW 2025 adalah satu perayaan terhadap kreativiti, identiti dan masa depan yang lebih lestari. Ia adalah bukti bahawa fesyen boleh menjadi suara yang kuat dalam memperjuangkan nilai dan perubahan.
Bagi Stephanie, impian jangka panjangnya adalah untuk melihat BFW tersenarai dalam kalendar rasmi Visit Malaysia 2026, sekaligus menjadikan acara ini sebagai mercu tanda fesyen Asia yang berakar pada warisan, tetapi berpandangan jauh ke hadapan.









Komen