top of page

Dari Pancaragam Diraja Ke Puncak Glamor!, Mazleen Juara Kilauan Emas 2025

  • Writer: MYB
    MYB
  • 5 Okt
  • 3 min membaca

SHAH ALAM – Pentas akhir program realiti nyanyian popular, Kilauan Emas 2025, menyaksikan satu kisah inspirasi apabila penyanyi Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Mazleen, berjaya dinobatkan sebagai juara musim ini.


Dari Pancaragam Diraja Ke Puncak Glamor!, Mazleen Juara Kilauan Emas 2025
Juara Kilauan Emas 2025, Mazleen menepati ramalan ramai peminat dan juri sekaligus bawa pulang hadiah kemenangan RM30,000 berserta trofi dan hadiah sampingan

Kemenangan Mazleen, yang turut dikenali dengan nama penuh Mazlin Abu Bakar, 45, menepati ramalan ramai peminat dan juri yang telah mengikuti perjalanan konsistennya sepanjang lapan minggu pertandingan. Malam kemuncak yang berlangsung penuh debar di Royale Theatre, Shah Alam, pada malam tadi, menjadi saksi kejayaan 'otai' ini menewaskan saingan terdekatnya.


Dari Pancaragam Diraja Ke Puncak Glamor!, Mazleen Juara Kilauan Emas 2025
Mazleen menyampaikan persembahan lagu "Bertamu Di Kalbu", nyaniyan asal asal Jaclyn Victor

Mazleen mengunci gelaran juara dengan dua persembahan hebat di pentas akhir. Persembahan solo beliau menerusi lagu asal Jaclyn Victor, "Bertamu Di Kalbu", berjaya memukau panel juri tetap yang terdiri daripada penyanyi bersuara Saprano Ning Baizura, primadona jelita Erra Fazira, dan pelakon veteran Roy Azman, serta juri jemputan khas, Datuk Yusof Haslam.


Dari Pancaragam Diraja Ke Puncak Glamor!, Mazleen Juara Kilauan Emas 2025
Mazleen berpadu suara bersama Arip Kilauan Emas (KE4) dalam duet "Naluri Cinta" ,nyanyian asal Rohana Jalil & To'ki.

Kehebatan vokalnya diperkukuh lagi dalam segmen duet, di mana beliau bergandingan dengan Arip Kilauan Emas (KE4) menyanyikan lagu "Naluri Cinta" (nyanyian asal Rohana Jalil & To'ki). Juri memuji kawalan vokal Mazleen yang matang, tenang, dan kemampuannya menjiwai setiap lirik lagu dengan penuh emosi.



Sejurus diumumkan sebagai juara, Mazleen dilihat menitiskan air mata kesyukuran dan sebak. Dalam temu bual selepas pertandingan, beliau mendedikasikan kemenangan tersebut buat kedua ibu bapanya, terutamanya bapa tercinta.


"Saya masuk ke program ini disebabkan keinginan ayah. Dia yang mahu saya mencuba pertandingan ini. Alhamdulillah, pada percubaan pertama, saya berjaya melangkah sehingga ke peringkat ini, dan kini bergelar juara," katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Mazleen yang berkhidmat di Unit Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) itu mengakui belum terfikir untuk meninggalkan kerjaya tetapnya, walaupun pintu rezeki dalam industri hiburan kini semakin terbuka luas.


"Saya sayang kerjaya yang ada dan akan terus berkhidmat dengan Pancaragam Diraja. Namun, saya juga amat gembira kerana bakat saya mendapat perhatian. Sudah ada beberapa komposer yang hubungi saya dan ingin memberikan lagu. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu," jelasnya.

Kemenangan cemerlang Mazleen sebagai Juara Kilauan Emas 2025 telah melayakkannya menerima hadiah yang cukup lumayan. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, bersama trofi eksklusif yang menjadi simbol kemenangan sumbangan daripada pihak penganjur, Astro.


Selain itu, Mazleen turut menerima pakej Umrah Kasih premium tajaan Khadim Ummah Holidays serta dilengkapkan dengan percutian mewah selama 4 Hari 3 Malam ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sumbangan daripada Amartrips.com.


Naib juara dimenangi oleh Zekrai, yang menerima RM10,000 dan percutian ke Bali, manakala tempat ketiga milik Nawary dengan RM5,000 dan percutian ke Danang, Vietnam. Tempat keempat hingga keenam masing-masing dimenangi oleh Zanie, Ezan, dan Majid, yang turut membawa pulang RM3,000 dan trofi.


Majid turut menerima Anugerah Emas Berkilau of The Week, manakala Ezan memenangi Cabaran 30 Hari Nestle Omega Gold dengan hadiah tambahan RM5,000.


Dari Pancaragam Diraja Ke Puncak Glamor!, Mazleen Juara Kilauan Emas 2025
Elly Mazlein menjelaskan kepada media berhubung kisah "hijrah" penampilan terbarunya di petas Kilauan Emas 2025.

Selain kemenangan Mazleen, pentas akhir turut mencuri perhatian apabila pengacara utama, Elly Mazlein, tampil dengan penampilan terbaharu yang manis berhijab, mendapat pujian meluas daripada netizen dan rakan artis.


Kisah Mazleen membuktikan bahawa usia hanyalah angka, dan pengalaman adalah senjata paling berbisa. Kemenangan ini bukan hanya peribadi, tetapi kemenangan buat semua 'otai' yang masih menyimpan impian untuk berkilau di pentas glamor.



Komen


bottom of page