Dato' Sri Siti Nurhaliza Kembali Ke Meja Juri Big Stage 2022
top of page
  • Writer's pictureMYB

Dato' Sri Siti Nurhaliza Kembali Ke Meja Juri Big Stage 2022

Setelah semusim berehat daripada tugas penjurian, penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza kembali menyertai barisan panel juri bersama komposer terkenal, Ajai yang kembali menerima mandat sebagai juri tetap buat kali kedua untuk musim ini.


Big Stage 2022
Ajai dan Dato' Sri Siti Nurhaliza bakal kembali ke meja juri program Big Stage 2022 bermula 6 Februari 2022

Selain Siti dan Ajai, seorang juri jemputan juga bakal diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu bagi mengisi kerusi ‘Juri Pedas’ untuk mengadili persembahan para bintang bersama-sama ahli panel juri yang lain.


Sementara itu, kerusi ‘Presiden Netizen’ yang diperkenalkan buat pertama kali pada musim lalu untuk menjurikan pertandingan ‘Big Stage’ dengan kupasan sudut perspektif yang mewakili suara ramai masih lagi dikekalkan sebagai salah seorang panel juri ‘Big Stage 2022’. Pemilik kerusi ini hanya akan diumumkan sewaktu konsert pertama kelak.


Big Stage 2022
Alif Satar dan Sherry Alhadad masih diberi kepercayaan mengemudi program realiti Big Stage tahun ini.

Selebriti versatil popular, Alif Satar dan Sherry Al Hadad masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’. Pengacara Gempak TV; Isha Norsham dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program kapsul ‘Studio Big Stage’. Manakala personaliti ERA; Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Big Stage Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.


Juara ‘Big Stage 2022’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.


Konsert mingguan ‘Big Stage 2022’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro RIA mulai 6 Februari 2022.

bottom of page