top of page
  • Writer's pictureMYB

Debaran Kian Terasa Di Pentas Akhir FAMILI DUO!, RM100,000 Bakal Jadi Rebutan Empat Duo Finalis

Selepas tujuh minggu bertanding di konsert mingguan Famili Duo, empat pasangan keluarga telah berjaya melangkah ke pentas akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini, 5 Februari 2023.


Keluarga jaguh nyanyian yang manakah bakal menjuarai Famili Duo dengan dua persembahan lagu bertemakan Anugerah Juara Lagu dan tema ’bebas’ iaitu lagu pilihan mereka sendiri?

Tahniah diucapkan buat duo yang akan bertanding di konsert finale iaitu pasangan adik beradik Ayda Jebat dan Fyna Jebat, pasangan adik beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah, pasangan sepupu Naim Daniel dan Sissy Imann serta pasangan sepupu Bella Astillah dan Wani Kayrie.


Pada konsert separuh akhir minggu lalu, pasangan yang lebih mesra disapa sebagai The Jebats oleh peminat mereka telah berjaya menggenggam gelaran juara mingguan dan markah undian penuh oleh juri Mas Idayu buat kali kedua dengan pembawaan lagu Rolling In The Deep oleh penyanyi asal Adele.


Persembahan yang disusun semula dengan genre rock dan mengolah inspirasi daripada Negara Terbit Matahari di tema ‘Legenda / Idola’’ ini sekaligus membawa pasangan adik beradik ini ke tangga tertinggi di carta keseluruhan dengan jumlah terkumpul sebanyak 435.9 markah.


Apabila ditemui selepas pengumuman kemenangan tersebut, Fyna Jebat telah berkongsi tentang kesyukuran terhadap sokongan yang tidak terputus oleh kakaknya dalam memberi kata semangat dan tunjuk ajar sepanjang bertanding di program nyanyian Famili Duo ini.

 

Ayda Jebat dan Fyna Jebat

“Ini semuanya asam garam sebagai artis dan kami berdua jadikan pengalaman yang kami dapat sepanjang menyertai program ini sebagai pengajaran untuk menjadi anak seni yang lebih berjaya. Dan apa yang saya lakukan bukan sahaja untuk mendorong adik saya, malah itulah tanggungjawab saya sebagai seorang kakak.


"Itu yang perlu kita buat untuk keluarga kita, sentiasa berikan sokongan sesama sendiri dan sebalik segala baik dan buruk kami, kami tetap keluarga yang saling menyayangi. Seperti peribahasa terkenal itu, air yang dicincang tidak akan putus. Kami akan terus berusaha untuk penerimaan yang baik oleh penonton dan juri di pentas akhir minggu hadapan.” jelas Ayda



 

Sementara itu, Adik-beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang merupakan anak kepada penyanyi legenda tanah air, Jamal Abdillah juga berjaya menonjolkan bakat mereka sehingga ke minggu separuh akhir Famili Duo. Pembawaan lagu Rentak Laguku oleh kugiran Bunkface telah menerima komen yang positif oleh juri tetap Ajai yang menyatakan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan konsert yang diberi oleh peserta paling muda pertandingan ini.


Berikutan legasi bapa mereka dan harapan tinggi yang ditetapkan oleh para penonton, Zaki dan Yamani tidak dapat nafikan tekanan yang dilalui mereka sepanjang bertanding di pentas Famili Duo.

 

Zaki Yamani dan Yamani Abdillah

Kami sangat bersyukur kami sempat sampai ke minggu terakhir pertandingan kerana kami asalnya bermula daripada kosong. Sudah semestinya ayah kami idola kami yang nombor satu. Akan tetapi, saya dan adik ingin cari identiti kami sendiri jadi kami mencari rentak lain selain membawakan lagu-lagu legenda ayah kami.


"Kami juga hendak tunjukkan kelainan dalam corak persembahan, jadi kami bersedia untuk bereksperimentasi dan terima komen-komen yang membina dari para juri. Dengan berbekalkan pesanan ayah setiap minggu iaitu jangan gentar, tenang, fokus, feel (penghayatan), dan berdoa, kami akan terus perah idea-idea yang hebat lagi supaya para penonton dapat terhibur dengan persembahan kami di minggu hadapan!” Zaki dan Yamani telah layak ke finale dengan markah terkumpul sebanyak 404.2 markah.

 

Program Famili Duo dihoskan oleh Janna Nick dan Sean Lee, menyaksikan tujuh pasangan selebriti popular yang mempunyai hubungan kekeluargaan merebut hadiah bernilai RM 10,000 setiap minggu dan hadiah utama bernilai RM100,000 di pusingan akhir.


Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan episod terakhir Famili Duo pada 5 Februari 2023, Ahad, pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam di TV3 dan anda juga boleh menonton secara definisi tinggi di www.tonton.com.my. Jangan lupa untuk menggunakan tanda pagar #FamiliDuoTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial.

Comentários


bottom of page