top of page

Didie Shazry Gegar Pentas Akhir – Juara Sulung Raise The Star Malaysia!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 11 Ogo 2025
  • 2 min membaca

SHAH ALAM – Malam penuh gemilang di Royal Theatre Shah Alam menyaksikan kelahiran seorang bintang baharu apabila Didie Shazry, peserta dari Kota Kinabalu, Sabah, dinobatkan sebagai juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia.


Didie Shazry Gegar Pentas Akhir – Juara Sulung Raise The Star Malaysia!
Didie Shazry, 23, kini boleh berbangga apabila dinobatkan sebagai juara sulung program realiti nyanyian terbaharu, 'Raise The Star Malaysia' (RTSM)

Persembahan konsisten dan bertenaga sepanjang lapan minggu pertandingan akhirnya membuahkan hasil apabila Didie membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi kemenangan, dan peluang merakamkan single baharu ciptaan Aina Abdul berjudul "Peganglah Hati".


Didie memukau juri dan penonton dengan dua persembahan mantap dengan lagu "Melompat Lebih Tinggi" nyanyian asal Sheila On 7 dan single debutnya yang diiringi secara langsung oleh Aina Abdul di piano. Persembahan tersebut menjadi kemuncak segmen The Grand Encore, yang menampilkan lima peserta terbaik untuk musim pertama ini .


Didie Shazry Gegar Pentas Akhir – Juara Sulung Raise The Star Malaysia!
Kiri - kanan: Hariz Fayahet, Zuana, Didie Shazry, Rayme dan Keka

Tempat kedua diraih oleh Zuana yang membawa pulang RM20,000, manakala Rayme di tempat ketiga dengan hadiah RM10,000. Hariz Fayahet dan Keka masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima, menerima RM5,000 setiap seorang. Menariknya, kesemua finalis turut menerima peluang merakamkan single baharu terbitan Rocketfuel Entertainment.


Selain itu, anugerah khas Gempak Star On Fire berdasarkan undian tertinggi peminat dimenangi oleh Zury, manakala Unbeatable Star menjadi milik Pasya yang turut membawa pulang RM5,000 .


Didie Shazry Gegar Pentas Akhir – Juara Sulung Raise The Star Malaysia!
Kiri-kanan: Sherry Alhadad, Audi Mok, Shila Amzah, Ajai, Aina Abdul, Ikhwan Fatana dan Alif Satar.

Program ini menampilkan lima komposer ternama terdiri dari Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatana yang bukan sahaja bertindak sebagai juri, tetapi juga pencipta lagu untuk peserta pilihan mereka. Penjurian dibahagikan kepada dua komponen: 80% markah daripada komposer dan 20% undian peminat.


Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Raise The Star Malaysia telah mencipta satu platform baharu yang mengangkat bakat muda dengan sokongan langsung daripada industri muzik tanah air. Dengan format yang segar dan penekanan kepada kreativiti komposer, program ini dijangka menjadi fenomena baharu dalam dunia hiburan Malaysia.



Komen


bottom of page