top of page

Dominasi Universal Music Malaysia di AIM24, Rangkul 10 Anugerah Berprestij!

  • Writer: MYB
    MYB
  • 7 minit lalu
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Universal Music Malaysia (UMM), bersama rakan kerjasamanya Faithful Music, sekali lagi membuktikan kedudukan mereka sebagai peneraju dalam industri muzik tempatan dengan kejayaan cemerlang di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24). Syarikat rakaman ini berjaya merangkul 10 anugerah, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai syarikat rakaman nombor satu di Malaysia.


Dominasi Universal Music Malaysia di AIM24, Rangkul 10 Anugerah Berprestij!
Ernie Zakri & Ade Govinda mengungguli kategori Kolaborasi Artis Tempatan & Luar Negara Terbaik dan Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi lagu "Masing-Masing".

Kemenangan besar ini turut disumbangkan oleh pencapaian artis-artis terkemuka di bawah naungan mereka. Antara anugerah utama yang diraih termasuk Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu "Masing-Masing" oleh Ernie Zakri & Ade Govinda. Ernie Zakri juga membuat persembahan istimewa dengan artis Universal Music Indonesia, Anggi Marito.


Selain itu, album "Belagu II" oleh Dayang Nurfaizah, yang diedarkan oleh UMM, memenangi kategori Album Terbaik. Album ini juga menerima Dana Kandungan Digital (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.


Dominasi Universal Music Malaysia di AIM24, Rangkul 10 Anugerah Berprestij!
Kemenangan besar buat Aubrey Suwito apabila album Belagu II oleh Dayang Nurfaizah diangkat sebgai Album Terbaik edisi AIM24

Tidak ketinggalan, penyanyi, komposer, dan penerbit terkenal Faizal Tahir turut mendominasi AIM24 dengan memenangi empat anugerah. Beliau membawa pulang trofi untuk Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik ("Campak Bintang" bersama Datuk M Nasir), Lagu Nasyid Terbaik ("Biar Satu Dunia Tahu" bersama Mirwana), Lagu Perpaduan Terbaik ("Bendera"), dan Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok ("Santai").


Dalam ucapannya, Faizal Tahir meluahkan rasa syukur dan menekankan bahawa muzik adalah medium untuk menyampaikan mesej yang bermanfaat dan menyentuh hati pendengar. Beliau berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada generasi baharu pencipta muzik tempatan untuk berkarya dengan keyakinan dan tujuan.


Dominasi Universal Music Malaysia di AIM24, Rangkul 10 Anugerah Berprestij!
AIM 24 turut menjadi pentas bersejarah buat bakat baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi, dan Firdaus Rahmat, yang diraikan buat pertama kali.

Majlis AIM24 turut menjadi pentas bersejarah bagi beberapa nama baharu seperti Hanis Rafi, Iqie Hugh, Glowrush, Fahimi, dan Firdaus Rahmat yang meraikan kemenangan pertama mereka di anugerah berprestij ini.


Pengarah Urusan UM, Kim Lim, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil dedikasi dan komitmen dalam membentuk bakat muzik tempatan agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


Lebih istimewa, Anugerah Sri Wirama diberikan kepada Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza, sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau selama 30 tahun dalam industri muzik tanah air. Siti Nurhaliza juga merupakan rakan kerjasama UMM melalui syarikatnya, SN Legacy. Majlis itu turut menampilkan persembahan pembukaan oleh kumpulan sensasi DOLLA bersama Tobii dari Def Jam Thailand.



bottom of page