Penyanyi Elizabeth Tan, 28, yang telah berkahwin dengan pasangannya, Siew Jim pada Mac tahun lalu dikhabarkan bakal mengadakan majlis resepsi mereka pada bulan depan. Majlis resepsi tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan diseluruh negara.
Elizabeth yang ditemui media sewaktu majlis pra-tonton drama terbaharu lakonannya, 'Ex Aku Pontianak' memaklumkan berita gembira tersebut kepada pihak media.
"Ya memang hampir setahun sudah kami berkahwin dan seperti semua tahu kita berdepan dengan pandemik Covid-19 jadi kami tangguhkan. Saya memang tetap mahu adakan majlis sebab bagi saya kahwin sekali seumur hidup." - Elizabeth Tan
Meskipun hanya majlis resepsi kecil-kecilan, dia tetap terus kerana mahu meraikannya dengan keluarga serta rakan terdekat.
Dalam pada itu, Elizabeth mengakui yang beliau masih belum berani memandu kereta meskipun sudah memiliki lesen sejak berumur 18 tahun. Dia mengakui trauma kerana pernah mengalami kemalangan sebelum ini lantas membuat keputusan untuk tidak memandu.
"Saya belum ada keyakinan. Saya memang sudah ada lesen, cuma tidak berani memandu. Bukan tidak pernah cuba, tapi masih belum bersedia untuk memandu kembali," katanya ketika ditemui.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy bagaimanapun menyimpan tekad untuk kembali memandu apabila dikurniakan anak kelak.
Baginya, alasan takut memandu tidak boleh diterima dan dia akan berusaha demi memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
"Bila saya ada anak nanti saya pasti akan memandu demi memastikan saya dapat galas tanggungjawab sebagai ibu. Penting untuk saya memandu apabila ada anak nanti untuk rutin harian sebagai ibu," katanya.
Terbaharu, Lizzy yang juga aktif sebagai pelakon gembira kerana diberikan peluang membawa watak sebagai pontianak dalam siri terbaharu Ex Aku Pontianak. Dia memegang watak Bella dalam siri yang akan ditayangkan bermula 19 Januari ini di Astro Ria.
Drama genre komedi seram itu turut menampilkan pelakon seperti Alicia Amin, Raysha Rizrose dan Ikmal Amry.
Commentaires