Emma Ingin Kembali Aktif
top of page
  • Writer's pictureMYB

Emma Ingin Kembali Aktif

Rahimah Sukor, yang lebih mesra disapa sebagai Emma, merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi penggemar lagu genre rock era 90an. Beliau merupakan bekas vokalis kumpulan Revolusi. Emma kemudian bergerak secara solo dan merakamkan dua album rock solo bersama Warner Music sebelum mengundurkan diri daripada pentas muzik tanah air.


Emma pernah popular sebagai vokalis Kumpulan Revolusi

Album solo pertamanya berjudul Emma pada 1993 memuatkan lagu popular berjudul Kembalilah dan Redup Tak Berimbun diikuti album solo keduanya pada 1995 yang berjudul Kecil Tapi Pedas.


Walaupun sudah tidak lagi muncul di kaca televisyen atau corong radio, Emma sebenarnya masih bergiat aktif dalam industri hiburan luar dan dalam negara menerusi syarikatnya sendiri, Impact Music & Entertainment, yang diuruskan sepenuhnya oleh beliau dan suami tercinta.

Emma kini tampil dengan KEMBALILAH EMMA, sebuah EP yang memuatkan tiga lagu baru - RINTIHAN RASA, SUDAH BERLALU, dan DUNIA CINTA, serta dua lagu tribute buat Kumpulan Revolusi dan Merah - BAYANGAN MISTERI 2020, dan CINTAKU 2022. Mengambil nama salah satu lagu hit beliau, KEMBALILAH EMMA mewakili hasrat peminat yang ingin muzik rock kembali ke persada hiburan tanah air.


Album ini juga mengorak langkah untuk beliau berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam industri hiburan. Antara yang terlibat dalam pembikinan EP ini adalah Adi Priyo, Mus May, Denis Chairis, Gjie Arlis, Yazri Malik, dan ramai lagi.


Lirik video CINTAKU 2022 boleh ditonton di saluran YouTube Impact Music mulai 18 Februari jam 12 tengah malam. EP KEMBALILAH EMMA pula boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital mulai 22 Februari jam 12 tengah malam manakala lirik video RINTIHAN RASA boleh ditonton di saluran YouTube Impact Music pada hari yang sama.


bottom of page