Mengaum Di Hujung Tahun! Isaac Voo Lancar 'SINGA' Dan Raikan Peminat
- MYB
- 1 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Bintang pop sensasi Malaysia, Isaac Voo, menutup kalendar seni tahun 2025 dengan penuh tenaga menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul "SINGA". Lagu berbahasa Melayu kedua daripada beliau ini telah dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 19 Disember lalu, seiring dengan tayangan muzik videonya di YouTube.

"SINGA" bukan sekadar sebuah lagu, tetapi manifestasi perjalanan seni Isaac yang penuh liku namun teguh. Mengambil inspirasi daripada sifat raja rimba, karya ini mengangkat tema kekuatan, keyakinan diri, dan keberanian untuk mempercayai potensi diri tanpa batasan.
Dengan gabungan elemen muzik urban moden dan lirik yang bersifat antemik, lagu ini disifatkan sebagai pembakar semangat untuk pendengar melangkah ke tahun baharu dengan lebih yakin. Menurut Cheng Lee, Ketua Bahagian Muzik di Prodigee Asia Talent, "SINGA" mencerminkan kematangan Isaac bukan sahaja dari sudut vokal, malah pemikirannya sebagai seorang artis yang mempunyai visi jelas.
Bagi Isaac, bulan Disember tahun ini mempunyai makna yang cukup peribadi. Selain meraikan ulang tahun kelahirannya pada 12 Disember, pelancaran single ini dianggap sebagai hadiah terbesar buat dirinya serta para peminat yang sentiasa menyokong.
"Disember adalah bulan yang sangat istimewa buat saya. Menyambut hari lahir dan pada masa yang sama melancarkan ‘SINGA’ adalah satu pencapaian peribadi. Ia adalah hadiah terbesar saya buat peminat dan industri," ujar Isaac.

Isaac turut menyatakan hasrat untuk terus mengukuhkan nama dalam industri kreatif, malah terbuka untuk meneroka bidang lakonan pada masa hadapan.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat setianya, Isaac’s Babies, Isaac bakal mengadakan sesi ramah mesra eksklusif, Isaac Voo Fan Meeting 2025 yang berlangsung pada 21 Disember 2025.
Bertempat di Pickle Space, Subang USJ bermula jam 2.00 petang, acara ini menjanjikan suasana intim dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan mini showcase, sesi bergambar, dan jamuan makan. Peminat yang hadir digalakkan mengenakan busana bertemakan "Jungle Colors", selari dengan semangat lagu "SINGA".





