Gamat Mega Star Arena! Fauziah Latiff Curi Tumpuan, JessC 'Belanja' 40 Lagu Tanpa Henti
- MYB
- 2 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Kehadiran primadona suara, Fauziah Latiff, ternyata menjadi magnet utama yang memukau lebih 3,000 penonton di Konsert “My Style” anjuran penyanyi muzik penyembuhan, JessC, yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Mega Star Arena, Sabtu lalu.

Dalam konsert edisi 'naik taraf' selepas kejayaan di Genting Highlands Mei lalu, kemunculan Fauziah atau lebih mesra disapa Jee di pentas menjadi sorotan utama malam tersebut. Gandingan dua generasi ini menghidupkan nostalgia menerusi lagu ikonik Tak Terpisah dan lagu sarat emosi, Dia, yang disambut dengan sorakan gemuruh penonton. Detik ini disifatkan sebagai simbol penghormatan JessC terhadap ketokohan Fauziah dalam industri muzik tanah air.
JessC membuktikan stamina vokalnya yang luar biasa apabila menyampaikan sejumlah 40 buah lagu tanpa henti sepanjang durasi tiga jam setengah persembahan. Mempamerkan versatiliti yang tinggi, beliau mendendangkan lagu dalam lima bahasa berbeza iaitu Mandarin, Bahasa Melayu, Inggeris, Jepun, dan Kantonis.

Selain nyanyian, elemen visual turut menjadi tarikan dengan JessC tampil dalam enam busana memukau, termasuk persalinan berinspirasikan estetika tradisional Melayu yang dihiasi lebih 20,000 butir kristal serta kostum berkonsepkan "Diamond Warrior" dan "Flame Princess".
Konsert ini tetap setia dengan identiti JessC sebagai penggiat muzik penyembuhan. Beliau mempamerkan bakat muzikalnya dengan bermain empat instrumen berbeza semasa segmen solo, selain berkongsi kisah inspirasi bagaimana muzik terapinya pernah membantu pesakit insomnia dan koma.

Suasana menjadi gamat seketika dengan momen mencuit hati apabila JessC turun ke bawah pentas sewaktu menyanyikan lagu Loving You. Beliau secara berseloroh menjerit "Help!" apabila terperangkap dalam lautan peminat yang teruja, menjadikan ia salah satu detik ikonik konsert tersebut.
Menutup tirai 2025, JessC kini merangka strategi untuk mengadakan jelajah ke seluruh Malaysia sebelum melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, sejajar dengan misinya menyebarkan mesej penyembuhan ke serata dunia.









Komen