• MYB

Enggan Layan Spekulasi Kisah Cinta, Ruhainies Teruja Menanti Filem Kedua

Pelakon genit, Ruhainies, 29, enggan lagi menjaja kisah cinta dengan kekasih yang digelar Mr. E kerana tidak mahu peminat terlepas pandang perkembangan kerjaya seninya.Pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu juga mengakui, dia tidak kisah jika netizen mahu membuat pelbagai spekulasi mengenai status hubungannya dengan lelaki itu, ketika ini.


Ruhainies

“Saya tidak mahu mengulas sama ada kami masih menjalinkan hubungan cinta atau sudah putus. Cukuplah dengan apa yang pernah dikongsikan pada peminat sebelum ini,” katanya.


Ditanya adakah Mr. E tidak kecewa melihat keakrabannya dengan pelakon kontroversi, Zul Ariffin, Ruhainies mengakui, setiap apa yang dilakukan mengikut keputusan sendiri.


“Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis. Sebab itu, saya pilih Zul menjadi gimik dalam klip video malam berinai yang dimuat naik menerusi laman Instagram, sebelum ini,” jelas Ruhainies.


Diasak pertanyaan soal perkahwinan, kata Ruhainies, dia tidak merancang berkahwin pada tahun ini.


“Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam kerjaya seni terlebih dahulu. Sebagai pelakon, saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon drama sahaja kerana mahu mengembangkan kerjaya ke layar perak,” katanya yang akan muncul dengan filem baharu, Musyrik - Api Neraka Menantimu!



Menyentuh filem bergenre seram, Musyrik - Api Neraka Menantimu!, Ruhainies berkata, dia menerima tawaran untuk berlakon di dalam filem tersebut kerana mahu mencuba filem genre seram.


Menerusi filem arahan Arjin Uppal itu, Ruhainies bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Aeril Zafrel selaku teraju utama.


“Saya seorang penakut, tetapi Arjin berjaya memujuk saya berlakon dalam filem seram ini. Saya bertuah bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril dalam filem ini.


“Aeril banyak membantu memberi tunjuk ajar untuk saya menjiwai karakter Farah seperti tuntutan watak,” katanya.


Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd turut menampilkan barisan pelakon seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.


Mengulas soal lakonan, Ruhainies berkata, dia berdepan cabaran ketika melakonkan babak Farah dirasuk dalam filem itu.


“Penggambaran filem ini banyak dilakukan pada waktu malam dan babak dirasuk dibuat pada jam 3.30 pagi.


“Mujur babak Farah dirasuk turut dibantu dengan elemen imej janaan komputer (CGI) untuk menghidupkan lagi karakter,” katanya.



Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan jam 6 petang pada 15 Jun lalu menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.


Kredit foto: ruhainies7

0 comments