Era Baharu Ford PJ: Kam Lung Ambil Alih Operasi, Lancar Ranger Raptor Sport V6
- MYB
- 25 minit lalu
- 2 min membaca
PETALING JAYA – Ford Petaling Jaya (Ford PJ) secara rasmi memulakan lembaran baharu apabila pengurusannya diambil alih oleh Kam Lung Motor Group (KLM) Sdn Bhd daripada Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd. Serentak dengan pengumuman pengambilalihan strategik itu, KLM turut melancarkan varian terbaharu jentera 'pickup' berprestasi tinggi, Ford Ranger Raptor Sport 3.0L V6 Ecoboost 4WD 10AT.

Pengarah Urusan Kam Lung Motor Group Sdn Bhd, Peter Goh, menyifatkan langkah itu sebagai satu peristiwa penting yang menandakan kemasukan sulung gergasi automotif itu ke pasaran Malaysia.
"Hari ini amat bersejarah... kerana kami menanam bendera pertama kami di sini, di Malaysia," kata Goh dalam ucapan perasmiannya.
KLM, yang berpangkalan di Hong Kong, bukanlah nama asing dalam arena automotif mewah. Ditubuhkan pada 1983 , kumpulan itu mempunyai rekod prestasi mengagumkan selama lebih 40 tahun, mengendalikan operasi di seluruh China, Hong Kong, dan Macau.

Sehingga kini, KLM menguruskan 36 fasiliti, 14 jenama automotif ikonik, dan disokong oleh lebih 2,300 kakitangan. Kumpulan itu mengendalikan jualan tahunan sekitar 25,000 kenderaan dan menyediakan khidmat selepas jualan kepada hampir 260,000 pelanggan , dengan perolehan kumpulan mencecah kira-kira AS$2.0 bilion.
Dalam ucapan pembukaan, Peter Goh, Pengarah Urusan KLM, menegaskan bahawa langkah ini adalah permulaan kepada visi besar kumpulan untuk menjadikan Ford PJ sebagai destinasi automotif utama di Lembah Klang.
“Kami bukan sekadar mengambil alih, tetapi berazam untuk menaik taraf fasiliti ini menjadi ruang moden yang mesra pelanggan,” katanya.
Bagi merealisasikan visi itu, beliau mengesahkan bahawa KLM akan memulakan "makeover penuh" ke atas kemudahan sedia ada di Petaling Jaya untuk mewujudkan ruang yang lebih moden dan mementingkan pelanggan.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan varian Ford Ranger Raptor Sport baharu, yang disifatkan sebagai "Ford Ranger Raptor paling canggih". Jentera itu dilengkapi dengan enjin 3.0L V6 Twin Turbo Ecoboost berprestasi tinggi , Roda Gaya 'Beadlock' 17 inci, 'Raptor Sport Decals', dan 'Raptor Sport Hoop'. Varian terbaharu ini akan dijual pada harga RM 273,888.00.
Bagi meraikan pengambilalihan dan pelancaran itu, KLM menawarkan promosi eksklusif untuk tempahan yang dibuat dari 15 hingga 30 November 2025, termasuk rebat sehingga RM3,000 dan satu servis kenderaan percuma. Pelanggan sedia ada juga tidak dilupakan, dengan tawaran diskaun 50% untuk minyak enjin, penapis minyak, dan upah buruh.





