Fad Bocey Sertai Suria FM, Bergandingan Dengan Ajak Dalam Segmen Pagi
- MYB
- 4 Ogo
- 1 min membaca
KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM hari ini secara rasminya mengumumkan pelakon dan pelawak serba boleh, Fad Bocey, sebagai penyampai baharu untuk segmen Morning Morning Suria, menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh dua figura terkenal, Suraya Borhan dan Dato’ Fizz Fairuz.

Sumber FB/FadBoceyOfficial
Fad, atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, mula bersiaran bersama Ajak bermula hari ini, setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi. Gandingan ini dijangka membawa nafas baharu dengan kombinasi humor dan tenaga yang segar untuk memikat hati pendengar setia Suria FM.
Sementara itu, Kai Hassan akan kembali bersama Chiwan dalam segmen Suria Petang yang bersiaran dari jam 3 petang hingga 7 malam, pada hari yang sama.
Pada 17 Julai lalu peminat stesen radio itu dikejutkan dengan berita penamatan kontrak penyampainya, Tok Fizz dan diikuti dengan pengumuman pengunduran oleh penyampai popularnya, Suraya Borhan pada 1 Ogos lalu yang sebelum ini turut mengendalikan segmen pagi bersama Ajak.
Penamatan kontrak itu dibuat sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan semula dan penstrukturan semula program stesen radio tersebut. Keputusan ini sememangnya mengejutkan ramai pihak, terutamanya peminat-peminat mereka yang telah lama mengikuti segmen yang dikendalikan oleh Suraya dan Tok Fizz.
Suraya Borhan telah bersama Suria FM selama lebih 10 tahun, manakala Dato' Fizz Fairuz pula menyertai stesen radio tersebut pada tahun 2022.
Kedua-dua penyampai ini akan dikenang sebagai penyampai yang membawa warna dan semangat tersendiri dalam dunia radio hiburan. Untuk mengikuti perkembangan terkini dan mendengar siaran Fad Bocey bersama Ajak, layari www.suria.my atau ikuti Suria Malaysia di semua platform digital.









Komen