Fasha Sandha & Aidil Aziz Buka Cawangan Kopi Saigon di MyTOWN Cheras, Pelaburan Cecah RM200,000!
- MYB
- 4 hari lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti popular tanah air, Fasha Sandha dan Aidil Aziz, bukan sahaja dikenali di layar perak, malah kini turut melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan pembukaan cawangan ke-208 Kopi Saigon di MyTOWN Cheras.

Menariknya, ini merupakan cawangan ‘signature’ pertama Kopi Saigon yang beroperasi dalam pusat beli-belah, menjadikannya satu pencapaian penting buat jenama kopi tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Menurut Fasha, beliau telah menjadi pelanggan setia Kopi Saigon sejak tahun 2021 dan terpikat dengan rasa unik kopi tersebut yang tidak menyebabkan rasa muak atau sakit kepala seperti sesetengah jenama lain. “Saya bermula sebagai pelanggan biasa, kemudian jadi peminat tegar. Setiap kali ada majlis, Kopi Saigon mesti ada,” katanya.
Pasangan ini melabur kira-kira RM200,000 untuk membuka cawangan tersebut, dan peluang lokasi strategik di MyTOWN Cheras menjadi pemangkin utama mereka untuk terjun ke dunia F&B. Mereka turut mendapat sokongan penuh daripada HQ Kopi Saigon dari segi operasi, pemasaran, latihan dan teknikal.
Fasha dan Aidil bukan sekadar meletakkan nama sebagai pemilik, malah turut terlibat secara langsung dalam pengurusan harian outlet, termasuk mengambil kursus barista dan pengurusan.
“Ada hari pelanggan mungkin akan dapat kopi daripada saya atau Aidil sendiri,” ujar Fasha yang pernah menguruskan salon selama lapan tahun.

Aidil pula menyatakan keyakinannya terhadap jenama Kopi Saigon selepas merasai sendiri minuman seperti Peach Tea yang digemarinya.
“Produk mereka konsisten dan sesuai untuk semua lapisan umur. Gabungan kreativiti pengasas dan semangat kami menjadikan kami yakin untuk ambil langkah besar ini,” katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal dan isterinya, Fana Rahim. Asyraf berkongsi bahawa jenama ini bermula dari impian kecil membawa kopi Vietnam ke Malaysia, dan kini telah berkembang kepada lebih 200 cawangan aktif.
Dengan kolaborasi eksklusif bersama Fasha dan Aidil, Kopi Saigon menyasarkan untuk membuka 500 cawangan dalam tempoh satu hingga dua tahun, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama kopi premium tempatan yang digemari ramai.
Comments