top of page

Fenomena Samurai: Search & XPDC Bersatu Dalam Konsert Epik Gegarkan Kuching

  • Writer: MYB
    MYB
  • 6 Sep
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Peminat muzik rock tempatan bakal disajikan dengan sebuah konsert bersejarah, Konsert Fenomena Samurai, yang akan menggabungkan dua kugiran legenda, Search dan XPDC, di atas satu pentas.


Fenomena Samurai: Search & XPDC Bersatu Dalam Konsert Epik Gegarkan Kuching
Search dan XPDC, bakal mencipta sejarah dengan bergabung dalam satu pentas menerusi Konsert Fenomena Samurai, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching.

Konsert yang dianjurkan bersama oleh Seri Simfoni dan Bintang Batu Event ini bakal berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025. Nama konsert itu sendiri sudah cukup membuat peminat setia muzik rock tempatan teruja, kerana "Fenomena" adalah nama album hit Search, manakala "Samurai" sinonim dengan XPDC.


Dua kugiran ini dianggap sebagai gergasi muzik di Malaysia dan telah mencipta sejarah tersendiri dalam industri muzik tanah air sejak era 80-an. Muzik dan penampilan mereka kekal relevan sehingga kini, dengan kelompok peminat yang merentasi pelbagai generasi.


Konsert Fenomena Samurai menampilkan barisan pemuzik hebat, termasuk XPDC dengan anggota Izo, Lola, Eddie, Arif, dan Mamu. Sementara itu, kumpulan Search yang kental 'digawangi' oleh Din dan Kid, bakal menjadikan malam konsert tersebut epik buat peminat muzik rock.


Fenomena Samurai: Search & XPDC Bersatu Dalam Konsert Epik Gegarkan Kuching

Menurut penganjur bersama, Seri Simfoni dan Bintang Batu Event, Konsert Fenomena Samurai adalah sebuah projek seni yang dirancang dengan teliti. Mereka tidak mahu kredibiliti kedua-dua kugiran yang mempunyai portfolio besar itu sekadar menjadi persembahan biasa.


Ikhram, atau Atom, dari Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event, menyatakan keutamaan mereka adalah kualiti konsert dan mereka tidak akan berkompromi dengan kredibiliti Search dan XPDC sebagai kugiran yang dihormati.


“Search dan XPDC adalah gergasi muzik tanah air. Kami tidak akan berkompromi dengan kredibiliti mereka. Konsert ini adalah manifestasi seni yang mempunyai piawaian tersendiri,” ujar Ikhram.

Din dari Search pula menyifatkan konsert ini bukan sahaja dipenuhi dengan nostalgia, tetapi juga menjadi penghargaan buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjuangan mereka.


“Fenomena Samurai bukan sekadar konsert. Ia adalah lambang kesetiaan peminat yang telah bersama kami sejak awal,” kata Din.

Tiket untuk Konsert Fenomena Samurai sudah mula dijual pada 5 September 2025 jam 10 pagi. Harga "Early bird" tiket bermula dari RM90 (Bronze) hingga RM250 (VIP). Harga tiket biasa pula bermula dari RM129 (Bronze) hingga RM359 (VIP). Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/.


Peminat setia Search dan XPDC dijemput untuk hadir dan menyaksikan sendiri gelombang fenomena yang bakal tercipta di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025.



Komen


bottom of page