top of page

Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025 Kukuhkan Status Negara Sebagai Hab Durian Antarabangsa

  • Writer: MYB
    MYB
  • 12 Jul 2025
  • 3 min membaca

BANGI - Bau harum raja buah sekali lagi semerbak di Bangi apabila Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort (BGR) kembali buat edisi keenam, kali ini dengan kejutan besar penganjuran World Durian Championship 2025: World Edition yang mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai pusat durian terunggul.


Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025 Kukuhkan Status Negara Sebagai Hab Durian Antarabangsa

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, yang memuji penganjuran acara ini kerana berjaya berkembang daripada pesta tempatan menjadi platform industri yang menghubungkan sektor pertanian, pelancongan, dan pasaran global.


Festival kali ini bukan sahaja menawarkan peluang kepada para pencinta durian untuk menikmati varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn, tetapi juga menjadi medan pertemuan penting untuk pekebun, pengeksport, dan pengusaha pelancongan.


Acara kemuncak, World Durian Championship 2025, menyaksikan kehebatan Malaysia dipamerkan menerusi empat kategori utama: Musang King D197, Duri Hitam D200, Klon Berdaftar, serta kategori Terbuka Durian Kampung. Kejohanan ini berjaya menarik penyertaan pekebun terbaik dari seluruh negara yang berhasrat meraih pengiktirafan antarabangsa. Sebanyak 96 penyertaan telah diterima untuk kejohanan ini.


Pemenang bagi kategori Duri Hitam adalah dinobatkan kepada Lee Kean Liang, diikuti oleh Leow Soon Hoe dan Ching Mun Chung. Sementara itu, We Go Farm meraih tempat pertama bagi kategori Musang King, diikuti oleh Durianhill Plantation Sdn Bhd dan Mohd Anuwar Bin Amin Asain.


Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025 Kukuhkan Status Negara Sebagai Hab Durian Antarabangsa

Bagi kategori Klon Berdaftar pula, menyaksikan Chan Kok Leong muncul sebagai juara, dengan Ching Mun Chung dan Victor Soon masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Akhir sekali, pemenang bagi kategori Terbuka adalah Mohd Lokman Hakim Bin Johar, Mohd Shahir Bin Azmi, dan Lim Kim Leng.


Manakala bagi anugerah King Of Kings pula telah dinobatkan kepada We Go Farm untuk durian Musang King mereka.


Panel hakim World Durian Championship menggunakan kriteria seperti rasa, tekstur, warna, dan aroma untuk menilai durian. Rasa dinilai berdasarkan kemanisan, kepahitan, nota bunga, nota alkohol, dan keseimbangan rasa keseluruhan. Tekstur pula menilai kepekatan dan kehalusan isi durian, manakala warna dan aroma turut menjadi faktor penting dalam penilaian. Hakim-hakim biasanya terdiri daripada pakar industri pertanian durian Malaysia, cef, wakil dari Jabatan Pertanian, dan personaliti makanan.


Salah satu tonggak kejayaan ini adalah Bangi Resort Hotel, yang telah diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai "First Durian Friendly Hotel and Resort" di rantau ini sejak 2018. Hotel ini terus berinovasi dengan menyediakan ruang khas yang selesa untuk para tetamu menikmati durian. Melalui kerjasama eksklusif dengan pekebun-pekebun tempatan yang pernah menjuarai anugerah, para pengunjung dijamin menikmati buah durian berkualiti tertinggi.


Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025 Kukuhkan Status Negara Sebagai Hab Durian Antarabangsa

Encik Soh Chung-Ky, Pengarah Eksekutif Bangi Resort Hotel, menyatakan bahawa inisiatif ini bukan sahaja melonjakkan pelancongan, malah turut meraikan warisan kulinari Malaysia. Beliau menambah bahawa konsep hotel tersebut kini menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara.


Kerajaan Malaysia pula menegaskan komitmen untuk terus memperkasa sektor durian melalui program pemodenan ladang, penyelidikan dan pembangunan varian yang lebih tahan serta berkualiti, dan membuka lebih banyak laluan pasaran antarabangsa. YB Datuk Seri Mohamad berharap lebih banyak kerjasama pintar antara pekebun, hotel, dan operator pelancongan dapat dilaksanakan untuk mengangkat nama Malaysia ke peringkat global.


Festival yang berterusan sepanjang hujung minggu ini dengan pelbagai acara menarik, membuktikan bahawa ia lebih daripada sekadar pesta makan durian. Ia menjadi pentas untuk mempamerkan potensi Malaysia dalam menggabungkan pertanian dengan hospitaliti bertaraf dunia, sambil membuka peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.


YB Datuk Seri Mohamad turut menekankan potensi festival ini dalam memacu sektor pertanian bernilai tinggi, dengan jangkaan pasaran durian global mencecah USD 10 bilion tahun ini dan meningkat kepada USD 16 bilion menjelang 2030. Beliau menegaskan bahawa Malaysia berada pada kedudukan unik untuk memimpin pasaran ini, didorong oleh permintaan kukuh dari China dan inisiatif inovatif pemain industri tempatan.



Komen


bottom of page