top of page

Festival Kopi Terbesar Selangor - SELCOFF 2025, Sasar Tarik 30,000 Peminat Kopi Serantau

  • Writer: MYB
    MYB
  • 10 Okt
  • 2 min membaca

PETALING JAYA – Para pencinta kopi bersiap sedia untuk menyertai acara paling dinanti tahun ini apabila Selangor Coffee Festival (SELCOFF) 2025 bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober di The Curve, Damansara.


Festival Kopi Terbesar SELCOFF 2025, Sasar Tarik 30,000 Peminat Kopi Serantau

Dengan jangkaan kehadiran lebih 30,000 pengunjung, festival ini dijangka menarik minat pencinta kopi, profesional F&B, usahawan muda serta pelancong tempatan dan antarabangsa yang mencari pengalaman unik dan berperisa di Selangor.


Festival ini dijangka menjadi yang terbesar pernah dianjurkan di Selangor, menghimpunkan lebih 30 pemain industri kopi dari Malaysia dan negara serantau seperti Vietnam, Indonesia, dan Singapura.


SELCOFF 2025 bukan sekadar pesta kopi kerana ia adalah platform kolaboratif untuk memacu inovasi dan pertumbuhan industri kopi tempatan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, festival ini akan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab budaya kopi dan pelancongan gaya hidup di Malaysia dan Asia Tenggara.


Festival Kopi Terbesar SELCOFF 2025, Sasar Tarik 30,000 Peminat Kopi Serantau
(Kiri- Kanan) Ketua Pegawai Eksekutif AK Events selaku Penganjur SELCOFF 2025, Ashraf Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling dan Pengurus Besar The Curve , Elaine Liew sewaktu sidang media pelancaran SELCOFF 2025

Antara tarikan utama Selangor Coffee Festival (SELCOFF) 2025 ialah Pertandingan Barista ASEAN, yang bakal menyaksikan barista terbaik dari seluruh rantau bersaing dan berkongsi kepakaran mereka. Acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada bakat tempatan untuk menimba ilmu, tetapi juga memperkukuh jaringan industri kopi serantau.


Selain itu, festival ini akan menampilkan pameran kopi berskala besar, bengkel interaktif, dan forum industri yang membolehkan pengunjung mendalami dunia kopi dari pelbagai sudut terdiri daripada teknik penyediaan hingga ke inovasi dalam perniagaan kopi.


Untuk hiburan, pengunjung boleh menikmati konsert malam yang meriah dengan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Aizat Amdan, Bunga Isme, 6ixth Sense dan Tam Spider, menjadikan suasana malam di The Curve lebih hidup dan berwarna-warni.



Menariknya, festival ini turut menggabungkan elemen gaya hidup dengan menyediakan gelanggang pickleball percuma kepada orang ramai. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan pengunjung sambil menikmati aroma dan rasa kopi yang memikat.


Festival ini juga akan menampilkan artisan kopi dari kesemua sembilan daerah di Selangor, menjadikannya satu pameran inklusif yang meraikan kepelbagaian dan keunikan kopi tempatan.


SELCOFF 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Visit Selangor Year 2025 di bawah tema “Selangor Kan Ada”, yang menekankan pelancongan gaya hidup, gastronomi dan acara bertaraf antarabangsa.




Komen


bottom of page