top of page
Writer's pictureMYB

Filem Adaptasi Novel Terbitan DBP, "Mereka Yang Tertewas" Kini Di Layar Perak

Novel karya Hasanuddin Md. Isa yang bertajuk "Mereka Yang Tertewas" terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini hadir di pawagam dalam bentuk filem yang dijangka mampu mengusik jiwa penonton dengan mesej keagamaan yang mendalam.


Mereka Yang Tertewas
Poster filem " Mereka Yang Tertewas"

Diterbitkan oleh Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd., filem arahan sutradara terkenal Datuk Zulkeflie M. Osman ini menampilkan barisan pelakon hebat yang diterajui oleh Zaidi Omar sebagai watak utama Lebai Tapa, seorang tokoh agama yang gigih memperjuangkan nilai-nilai Islam di sebuah kampung yang penduduknya semakin tersasar dari ajaran agama.


Filem yang mengisahkan perjuangan seorang 'pejuang' Islam di Kampung Bukit Setugal ini turut mengetengahkan bakat-bakat hebat seperti Fiza Halim, Mubarak Majid, Datuk Hilal Azman, Sherie Merlis, Adam Shahz dan Fad Anuar yang masing-masing memberikan persembahan hebat dalam memerankan watak-watak penting dalam menghidup serta memberikan warna dalam keseluruhan filem ini.


Mengangkat tema "Amar Maaruf Nahi Mungkar", filem ini bukan sekadar memaparkan konflik kehidupan masyarakat kampung, tetapi turut menyentuh isu-isu fundamental dalam kehidupan beragama.


Mereka Yang Tertewas
Pengarah dan barisan pelakon filem "Mereka Yang Tertewas". Dari kiri: Datuk Zulkeflie M. Osman, Mubarak Majid, Datuk Hilal Azman, Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Adam Shahz dan ramai lagi.

Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan Lebai Tapa yang berhijrah ke Kampung Bukit Setugal selepas menghadapi dugaan peribadi, dan usahanya untuk membimbing penduduk kampung kembali ke pangkal jalan walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan cabaran.


"Filem ini bukan sekadar adaptasi biasa, tetapi membawa mesej yang sangat bermakna tentang ketabahan, perjuangan dan pengukuhan iman dalam kehidupan seharian," ujar pihak produksi dalam satu sidang media sempena tayangan khas bersama media di GSC Mid Valley.



Menariknya, filem yang turut tersenarai sebagai peserta Festival Filem Cannes dan Amigo Film Festival ini dijangka akan memberikan perspektif baharu kepada peminat novel asal, di samping menarik minat generasi baharu untuk menghayati karya sastera tempatan yang diangkat ke layar perak.


"Mereka Yang Tertewas" kini ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih seluruh negara bermula 7 November 2024. Filem yang mendapat pengiktirafan L13 ini sesuai ditonton oleh peminat filem tempatan yang mahukan karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut mencabar minda dan menyentuh jiwa.



Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


bottom of page