top of page

Gema 25 Tahun: Shila Amzah Bakal Gegarkan Pentas Berprestij Dewan Filharmonik PETRONAS Mei Ini

  • Writer: MYB
    MYB
  • 14 minit lalu
  • 1 min membaca

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan jubli perak penglibatannya dalam industri seni, bintang kebanggaan Malaysia, Shila Amzah, bakal muncul dalam sebuah konsert solo istimewa di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP).


Gema 25 Tahun: Shila Amzah Bakal Gegarkan Pentas Berprestij Dewan Filharmonik PETRONAS Mei Ini

Konsert yang diberi judul "Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories" itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 9 Mei 2026, jam 8.00 malam.


Pemilihan DFP sebagai lokasi konsert dilihat sangat bertepatan dengan status Shila sebagai penghibur bertaraf antarabangsa. Pentas berprestij ini bakal menyaksikan Shila membawa peminat menyelusuri perjalanan panjang kariernya yang bermula sejak usia 10 tahun, sehingga beliau berjaya menempa nama di persada muzik Asia dan global.


Dikenali dengan kemampuan vokal yang merentas genre dan penguasaan pelbagai bahasa, anak kepada penyanyi veteran ND Lala ini menjanjikan sebuah persembahan yang penuh emosi dan nostalgia.


Gema 25 Tahun: Shila Amzah Bakal Gegarkan Pentas Berprestij Dewan Filharmonik PETRONAS Mei Ini

Peminat bakal disajikan dengan seleksi lagu daripada album terdahulu, koleksi lagu Mandarin, lagu-lagu saduran popular, serta karya terbaharu daripada albumnya yang bertajuk SA25.


"Resonance" bukan sekadar konsert nyanyian, tetapi merupakan naratif perjalanan seni Shila Amzah yang penuh dengan memori sepanjang dua dekad setengah bergelar anak seni. Selain Shila, pentas DFP sebelum ini telah menjadi saksi kehebatan ramai artis tersohor lain seperti Dayang Nurfaizah, Yuna, dan Misha Omar.


Bagi peminat yang ingin menyaksikan kehebatan vokal Shila secara dekat, tiket dijual pada harga bermula RM199 sehingga RM649 bagi kategori Suite. Menariknya, pihak penganjur turut menawarkan pas eksklusif Meet & Greet pada harga tambahan RM150, namun ia terhad kepada 60 pembeli terawal sahaja.


Tiket boleh didapati menerusi kaunter Box Office DFP atau pembelian secara dalam talian. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan momen bersejarah salah seorang diva terbaik Malaysia ini.



Komen


bottom of page