top of page
  • Writer's pictureMYB

HABIB Tampil Koleksi Inspirasi Seni Warisan Tekat Untuk Kempen Rantaian Kasih di Aidilfitri 2023

HABIB, jenama barang kemas terulung di Malaysia, baru-baru ini melancarkan kempen raya “Rantaian Kasih di Aidilfitri 2023” bertempat di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur. Kempen yang akan bermula dari 23 Mac sehingga 21 April 2023 ini, mengambil inspirasi serta menampilkan warisan tradisional Tekat, iaitu seni hiasan sulaman Melayu yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas pada latar belakang baldu yang kaya dengan warnanya.


Dato' Sri Meer, Sharifah Rose (wajah Kempen HABIB Raya 2023) bersama barisan model yang dihiasi dengan HABIB Raya Collections

Bangga sebagai sebuah jenama tempatan, HABIB sentiasa mengangkat keindahan dan keunikan warisan seni budaya. Seni Tekat pada usulnya dikaitkan dengan kegunaan persalinan Diraja, perhiasan istana dan upacara pertabalan. Tekat juga sering digunakan untuk menghiasi barangan majlis perkahwinan dalam masyarakat Melayu.


Penghasilan Tekat menitikberatkan kehalusan serta kekemasan, begitu juga proses pembuatan barangan kemas HABIB, yang amat mementingkan perincian serta ketelitian pada reka bentuk dan ketukangannya yang jelas terpancar pada koleksi Raya HABIB.


Mengulas lanjut mengenai kempen raya tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer berkata, “Hari Raya Aidilfitri adalah yang paling dinantikan kerana kita dapat berkumpul mengeratkan lagi silaturrahim serta bermaaf-maafan bersama keluarga, sahabat dan yang tersayang”.

 

“Mengangkat tradisi acara tahunan yang disambut sejak lebih 20 tahun, yang dinamakan Rantaian Kasih; ia menggambarkan sebuah ketulusan ikatan yang terjalin. Jadi, hubungan baik dengan para pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan suatu kegembiraan bagi kami dapat melihat para pelanggan bersama keluarga mereka melangkah masuk ke bilik pameran serta menikmati pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan.


"Lebih istimewa pada tahun ini, kami sangat teruja untuk mempamerkan seni Tekat yang diterapkan dengan nilai sejarah dan warisan yang memerlukan kreativiti dan penghasilan bermutu. Kami memastikan para pelanggan disajikan dengan pelbagai pilihan untuk setiap lapisan umur dengan mendapatkan koleksi baharu untuk digayakan pada hari lebaran nanti." jelasnya.

 
GALERI

Barisan model memperagakan koleksi barang kemas serta aksesori untuk kempen raya

“Rantaian Kasih di Aidilfitri 2023”



Koleksi utama yang ditampilkan merupakan Koleksi Arowana HABIB, yang menerapkan unsur geometri yang teliti dan halus, seperti si ikan naga, dengan sisik meliuk gemalai dan mempesona, serta simboliknya yang dikaitkan dengan tuah serta kekayaan.


Koleksi ini diperbuat daripada emas 750 (18K) bertatahkan berlian yang ditawarkan dengan pelbagai reka bentuk dan kombinasi batu permata pelbagai warna. Unik dengan rekaan versatil, boleh dijadikan sebagai rantai leher mahupun kerongsang untuk gaya yang berbeza.


Tidak dilupakan rantai leher labuh bersama loket berlian eksklusif, yang sangat popular digayakan untuk perayaan istimewa serta cantik dipadankan bersama baju kurung ataupun kebaya untuk kelihatan lebih mewah.


Koleksi kegemaran ramai, Oro Italia 916 HABIB juga dipersembahkan dengan rekaan baharu, yang lebih menawan, hasil gabungan pelbagai kemasan seperti high polish, potongan berlian, matte dan kemasan satin yang membawa suntikan nafas baharu kepada reka bentuk klasik.


Turut menjadi perhatian, Koleksi Eksklusif Emas 916 HABIB dengan rekaan lebih kontemporari, gabungan emas 916 berona kuning dan putih, yang hanya boleh didapati secara eksklusif di HABIB.


Buat kaum jejaka, Butang Baju Melayu yang sentiasa menjadi pelengkap di pagi Raya, hadir dalam bentuk dan warna baharu, segak dipadankan dengan cincin perak paladium. Untuk kanak-kanak pula, seleksi emas 916 bermotifkan flora dan fauna ditawarkan.


Tahun ini, HABIB menyambut Aidilfitri dengan memberi penghormatan kepada warisan seni Tekat, melalui motif yang diilhamkan daripada alam semulajadi dan tumbuh-tumbuhan tempatan.



Wafer Syiling Emas 999.9 Edisi Terhad tahun ini didatangkan dalam lima reka bentuk berbeza – Bunga Cengkih, Bunga Kekwa, Bunga Padi, Bunga Raya, dan Awan Larat. Setiap satu, dilengkapi dengan rekaan sampul yang indah sesuai dijadikan sebagai hadiah, pengganti duit raya atau dikumpul sebagai koleksi peribadi.


HABIB memilih pelakon muda berjiwa besar, Sharifah Rose sebagai wajah selebriti yang memperagakan koleksi HABIB. Buat julung kalinya juga, HABIB berkolaborasi bersama pereka fesyen terkenal Malaysia, Syomirizwa Gupta, yang menampilkan busana mewah yang elegan dan berwarna ceria sebagai penyeri di Aidilfitri, untuk digayakan bersama koleksi Raya HABIB.


Kempen Rantaian Kasih di Aidilfitri 2023 dilancarkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Dato’ Sri Meer, diiringi Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB, Datin Sri Zarida Noordin serta Pengurus Besar Kanan Jualan, Mohd Zaruddin Mahmud dan Ketua Pegawai Pemasaran, Joseph Lam.


Majlis pelancaran dilengkapkan dengan penampilan pengusaha Tekat yang berpengalaman serta menunjukkan kehalusan seni ini untuk dihargai umum, acara juga dimeriahkan dengan persembahan istimewa penghibur tanah air, Kaka Azraff.


Kempen ini berlangsung di seluruh bilik pameran HABIB bermula 23 Mac sehingga 21 April 2023. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi www.habibjewels.com dan ikuti sosial media HABIB di Facebook, Instagram, Tiktok, Twitter, Pinterest dan melanggan di YouTube.

bottom of page